Sunday, April 22, 2012

Islam Secara Menyeluruh

Kita amat arif dengan peristiwa yang menggemparkan Malaysia tidak lama sebelum ini, yakni kisah pembatalan konsert Erykah Badu kerana dikatakan dia pernah mentatu dirinya dengan nama Allah&Rasulullah SAW. Walaupun selepas itu diperdebatkan sama ada itu hanyalah body paint atau sebagainya, namun jelas dia pernah mempunyai kalimah itu pada tubuhnya.

Walau apa pun kebenarannya, yang menarik perhatian ketika itu adalah Erykah Badu sendiri menulis di twitter beliau – I deserved it. Sedang ramai selebriti Malaysia memarahi mentaliti masyarakat yang membesar-besarkan isu tersebut hingga terbatal konsert seorang Erykah Badu.

Apa-apa pun, itu menunjukkan betapa sensitifnya masyarakat apabila kalimah Allah, Rasulullah SAW, diletakkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Hingga terbatal sebuah konsert.

Saya tidak menyatakan itu tidak baik. Pada saya ianya bagus kerana sensitiviti menjaga nama baik Allah dan Rasulullah adalah satu perkara yang nyata positif.

Tetapi saya mendapat berita hari ini, Girls Generation, satu kumpulan Kpop wanita dari Korea, telah berjaya menjalankan konsert di KLCC, pada 23hb Mac 2012, dihadiri ramai hadirin, ada daripadanya adalah dari kalangan masyarakat melayu kita sendiri.

Bagaimanakah ini?

Kumpulan Itu Jelas Tidak Berpakaian Sopan.

Bila kita lihat semula kumpulan Girls Generation ini, sebagaimana yang akhbar sendiri paparkan, nyata membuat persembahan di Malaysia dengan mengenakan pakaian putih dan berskirt pendek mendedahkan peha.

Ya. Jelas itu bukanlah satu etika kesopanan bagi rakyat melayu, dan nyata terkeluar dari adab-adab Islam. Belum dikira mereka memakai baju yang agak kecil menampakkan bentuk tubuh. Nyatanya, tidak menutup aurat.

Kemudian bergerak-gerak membuat persembahan, yang saya yakin walau tidak bertujuan lucah, pastinya akan tetap mencucuk jiwa-jiwa yang memandang.

Tetapi 1001 kehairanan bagaimana kumpulan sebegini, dibenarkan membuat persembahan di negara kita?

Sensitiviti Pada Beberapa Tempat, Dan Membuangnya Pada Beberapa Tempat Yang Lain.

Di manakah kurangnya ‘efek’ yang dibawa oleh Girls Generation, dibandingkan dengan Erykah Badu?

Sebenarnya secara peribadi, semasa saya melihat gambar Erykah Badu yang didedahkan mempunyai tatu Allah&Rasulullah itu, saya nyata tidak peduli dengan tatu. Sebab jelas sebelum saya nampak tatu, saya sudah nampak bahu dan bahagian atas dadanya yang terdedah. Terus saya kata dalam hati, memang patut kena ban pun. Namun masyarakat bangkitkan isu tatu. Tidak mengapalah, mungkin sekadar ‘penambah sebab’ mengapa perlu dibatalkan konsertnya.

Tetapi apabila saya melihat Girls Generation berjaya membuat persembahan di KLCC, saya mula tertanya-tanya. Apakah yang sebenarnya ditentang oleh masyarakat Islam Malaysia? 

Apakah yang sebenarnya masyarakat Islam Malaysia faham dalam isu ‘menjaga agama’?

Kita hanya sensitif apabila nama Allah&Rasulullah diletak pada tempat yang salah oleh seorang yang bukan Islam, tetapi kita tidak sensitif dengan pembukaan aurat secara terbuka? 

Bahkan, dilakukan oleh perempuan, yang nyata sepatutnya dalam masyarakat melayu Islam Malaysia kita, dijaga adab sopannya lebih dari lelaki!

Jadi, di mana sebenarnya letak sensitiviti kita?

Hanya pada kalimah Allah&Muhammad?

Bukan pada Islam keseluruhannya?

Biasa Dengan Dosa.

Kita amat arif dengan kisah selebriti di Malaysia. Rata-ratanya tidak menutup aurat. Belum dikira dengan yang terlebih seksi, dan belum lagi kita hitung dengan semberono sahaja bercakap berkenaan agama dan hukum Islam. Belum juga kita hitung drama-drama, filem-filem yang jelas tidak membantu perkembangan Islam dan kefahamannya dalam masyarakat, bahkan sangat-sangat mendorong untuk membuatkan masyarakat jauh dari kefahaman Islam yang sebenar.

Ya. Sudah berapa tahun kita di’biasa’kan dengan perkara sebegini?

Hari-hari buka TV, kita di’dodoi’ oleh selebriti sebegini.

Hari-hari dengar radio, kita di’isi’ oleh seleberiti sebegini.

Sudah berapa tahun?

Perlahan-lahan kita rasa: “Ala, tak tutup aurat je pun.”

Nah. Kita sudah terbiasa dengan dosa! Itu baru kita. Bayangkan anak-anak kita, adik-adik kita yang masih kecil, yang akan membesar dengan suasana ini. Kalau kita boleh redha dengan perkara seperti tidak menutup aurat, jangan terkejut generasi hadapan boleh redha dengan aksi ranjang!

Lihatlah keredhaan kita terhadap persembahan Girls Generation.

Ini adalah hasil keredhaan kita selama ini terhadap keadaan hiburan di Malaysia selama ini.

Islam itu perlu diambil secara total.

Bukanlah kalimah Allah&Muhammad sahaja kita perlu pertahankan. Itu adalah sebahagian dari kemuliaan Islam. Benar.

Tetapi kita perlu ambil Islam secara total. Maka jiwa orang mukmin, orang Islam, turut perlu dijaga. Sekiranya ada ism-ism yang mahu merosakkan tali perhubungan antara jiwa seorang muslim dengan Allah SWT, maka kita wajib juga mempertahankannya.

Kerana itu kita tidak boleh redha dengan perkara yang jelas keluar daripada nilai Islam sebegini. Baik dari artis luar negara, mahupun artis tempatan itu sendiri. Bukan sekadar membantah persembahan-persembahan mereka apabila mendedahkan aurat sedemikian rupa, kita sendiri patut membantah perkara-perkara ini dari menjengah dalam kehidupan kita!

Kalau mahu kata mesej, maka apa mesej yang mereka bawa?

Jika benar bermesej, maka ambil mesejnya sahaja. Mengapa mesti mendewa-dewakan selebritinya, hingga membenarkan kemungkaran menjengah kehidupan kita?

Tidak saya kata kita perlu cemuh dan perlu hina mereka. Saya bukan berbicara akan keburukan Erykah Badu, Girls Generation atau artis tempatan. Saya sedang bicara akan mentaliti kita. Saya sedang bicara akan di manakah sebenarnya sensitiviti kita terhadap Islam itu, kita letak?

Ini perlu kita lihat semula.

Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.

Dinyatakan selepas arahan mengambil Islam secara menyeluruh itu, larangan agar kita tidak mengikuti jejak langkah syaitan. Tidakkah kita memerhatikan? Memang syaitan akan menipu kita. Menyatakan ini tidak mengapa, begitu tidak mengapa. Hingga kita terkeluar dari kebenaran yang sebenarnya.

Kita sangka, kita menjaga nama Allah&Rasulullah SAW sahaja sudah mencukupi. Hakikatnya, kita perlu menjaga Islam ini secara total. Syaitan ini dia bijaksana. Jika tidak mampu ajak kita tinggalkan Islam, maka dia akan suruh kita berbuat baik yang kecil, dan mengajak kita merasa cukup dan berpuas hati hanya dengan kebaikan kita yang sebenarnya kecil dan tidak membawa makna itu!

Tidakkah kita menyedari?

Penutup: Marilah Kita Kembali Kepada Sensitiviti Yang Sebenar.

Pada saya, jika benar kita ada sensitiviti yang betul, kita akan tolak semua kemungkaran ini. Baik datangnya dari eropah, dari africa, dari Korea&Jepun, hatta dari Malaysia sendiri. Kita akan tolak.

Maka tidaklah pula kita akan menjadi fitnah para non-muslim yang memandang aksi masyarakat muslim Malaysia. Erykah Badu kita tolak, Girls Generation kita terima, bahkan artis muslim/muslimah kita sendiri tidak ubah seperti mereka! Maka apa kehormatan non-muslim mahu berikan kepada kita?

Kerana itu tidakkah kita rasa sudah cukup mendengar kenyataan para muallaf:

“Saya bersyukur mengenali Islam dahulu dari orang Islam.”

“Kalau nak diikutkan rakan-rakan Muslim saya, mungkin saya sampai hari ini tidak akan masuk Islam.”

Dan sebagainya.

Jelas, itu adalah indikasi betapa jauhnya kita dari kebenaran yang sebenarnya.

Maka marilah kita perbaiki sensitiviti ini.

Ambil Islam secara total.

Dan bergerak naik membina peribadi sejati.

Mari Menjadi Hamba!

( sumber; langitilahi )

Wednesday, March 14, 2012

Tudung

Assalam 'alaikum..

Post kali ni, penulis hanya ingin berkongsi satu video dengan pembaca. Harap bermanfaat. InsyaAllah..




Kalau diperhatikan, semakin ramai vlogger yang menghasilkan video berunsur dakwah seperti ini. Alhamdulillah.. Semoga kita sentiasa di bawah peliharaan Allah s.w.t.

Amiin..

Saturday, February 04, 2012

Cinta Rasulullah Terhadap Umat Baginda

12 Rabiu'l Awal . Assalamualaikum

يَا نَبِي سَلاَمٌ عَلَيْكَ يَا رَسُوْل سَلاَمٌ عَلَيكَ يَا حَبِيْبُ سَلاَمُ عَلَيْكَ صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْكَ

Salam Maulidir Rasul untuk junjungan Baginda s.a.w. Sempena Maulidur Rasul malam ini , penulis ingin berkongsi kisah cinta antara Baginda dengan kita .

Cerita ini penulis hanya copy , paste . Maaf , penulis tidak pandai mengarang . :)

Kisah Cinta yang pertama , rindu Baginda terhadapa kita ; umat akhir zaman

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.


Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."


Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.


"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.


"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

[ Sumber ; IluvIslam.Com ]

Kisah Cinta yang kedua , cinta terhadap umat Baginda

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Ketika itulah, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah:


"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertakwalah kepadaNya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."


Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah saw. yang tenang dan penuh minat menatap sahabat-sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap baginda dengan mata yang berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah saw. akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah saw. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah saw. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah saw. menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah saw..

Fatimah menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah lalu Baginda menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" – "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

[ Sumber ; IluvIslam.Com ]

Berdasarkan kedua-dua kisah di atas ,

Sebanyak mana kita mencintai Rasulullah sepertimana Rasulullah mendintai kita ?

Sebanyak mana kita merindui Rasulullah sepertimana Rasulullah merindui kita ?

Adakah kita hanya berselawat keatas Baginda haya pada Maulidur Rasul sahaja ?

Adakah kita hanya berkata " aku cinta Rasulullah" , tapi sebanyak mana kita mengikuti sunnahnya ?

Sebanyak mana kita mengetahui tentang kehidupan Baginda ketika Baginda masih hidup ? ketika Baginda berjuang bermati-matian menegakkan agama ? kita ?

Renung-renungkanlah saudara-saudariku , sebarkanlah apa yang Rasulullah perjuangkan sebelum ini walaupun satu ayat .


Wallahu'alam .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...