Tuesday, December 27, 2011

Couple Itu Sama Dengan Cinta ?

Couple=cinta? Saya kata tidak.

Bicara cinta kita kali ini. Sebab baru timbul di Official Page saya soalan berkenaan ‘apakah ada couple sebelum berkahwin?’. Saya jawab lah tak ada. Kemudian dia tanya ‘apakah ada cinta sebelum berkahwin?’. Saya kata ada. Dia pelik. “Macam mana bercinta tapi tak bercouple?”

Saya pula naik hairan. Cinta dengan couple tu, sama ke? Nak bercinta, wajib couple ke? Kiranya, kalau tak couple tu, tandanya tak ada cinta la? Begitu kah?

Patutlah bila saya kata bercinta sebelum kahwin boleh, orang ramai marah sebab dia kata: “No cinta b4 nikah” la, “Cinta sebelum nikah haram” la dan sebagainya. Sebab apa? Dia nampak cinta=couple dan sewaktu dengannya.

Saya nampak couple tu jauh letaknya di barat, dan cinta tu letaknya jauh di bahagian timur. Dua benda yang berlainan. Cinta boleh dijalankan tanpa couple. Couple pun, kalau orang nak, boleh jalan tanpa cinta.


Apa itu cinta?

Saya tak ambil definisi cinta ini dari kamus dewan bahasa atau mana-mana sumber. Saya bina definisi cinta saya sendiri, dari kefahaman dan padangaan yang saya perhatikan selama ini.

Definisi cinta saya mudah. Apa itu cinta? Cinta adalah apabila kita hendak masuk syurga bersama-sama dengan orang yang kita kata pada dia – Saya cintakan awak. Benda ni boleh apply dengan semua jenis orang. Kekasih kah, isteri kah, anak-anak kah, ibu-bapa kah, adik-beradik kah, sahabat handai, saudara mara, jiran tetangga, dan sebagainya. Semua la pendek kata.

Jadi, kalau kita melakukan sesuatu yang mengeluarkan kita dari jalan ke syurga Allah SWT, itu tandanya telah hilang cinta kita kepada orang yang kita kata - saya cintakan awak.

Cinta, terkandung di dalamnya makna sayang dan kasih. Jadi saya tidak nampak seseorang yang melempar seseorang yang lain ke dalam api, atau bawa orang lain terjun ke gaung bersama dengannya itu, adalah seorang Pencinta, seorang Penyayang atau seorag Pengasih.

Jadi, kalau couple itu dilarang oleh Allah SWT, zina hati itu dilarang oleh Allah SWT, dan kosnya adalah kemurkaan Allah SWT, boleh mengheret ke neraka Allah SWT, apakah si pengajak kepada perlakuan itu, atau si pelaku kepada perlakuan itu, dinamakan saling kasih mengasihi, sayang menyayangi dan cinta mencintai?

Lempar ke dalam api dikatakan sayang? Ah... kalau anda berpendapat demikian, tak mengapalah.

Yang saya kata bercinta sebelum kahwin

Cinta itu perasaan. Kita sebenarnya tidak tahu bagaimana cinta itu boleh muncul. Lain orang lain cara kemunculannya. Ada yang terjumpa sekali dah ‘tercinta’. Ada yang sebab kerja sama-sama, ‘tercinta’. Ada yang sebab dengar dari kawan-kawan si fulan/si fulanah itu baik, maka ‘jatuh cinta’ dan sebagainya.

Pendek kata, jatuh cinta ini bukan boleh kawal. Jadi, macam mana kita boleh letakkan hukum haram kepada sesuatu yang bersifat ‘auto’? Atau bahasanya yang sebenar adalah ‘fitrah’.

Islam haramkan seks kah? Tidak. Sebab? Sebab seks adalah fitrah.

Islam haramkan kita makan dan minumkah? Tidak. Sebab? Sebab makan minum adalah fitrah.

Tetapi apa yang Islam buat? Yang Islam buat adalah Islam lorongkan semua benda itu. Seks adalah dengan perkahwinan. Makan minum adalah makan minum yang halal.

Cinta? Saya tidak pernah dengar lagi dalam nas Al-Quran atau Hadith sohih yang menyatakan perasaan cinta itu perlu ada hanya sebelum kahwin. Kalau ada, sila tunjuk pada saya. Saya mahu belajar.

Maka apa yang saya maksudkan dengan ‘bercinta sebelum kahwin’ adalah, usaha-usaha kita untuk berkahwin dengan seseorang itu, itu adalah namanya ‘cinta sebelum kahwin’. Saya bukan kata email, sms, call, dating, couple, itu adalah ‘bercinta sebelum kahwin’. Tidak dan tidak sama sekali.

Tetapi, kita kembali kepada definisi cinta yang saya nyatakan.

Hendak masuk syurga bersamanya.

Maka, bercinta sebelum berkahwin dengannya adalah dengan kita mempertingkatkan diri sebelum menerjah ke alam perkahwinan. Itu bercintalah.

Apakah dengan itu ‘haram berhubung langsung’?

Tidak. Bila sudah bertunang, sudah mendapat pengiktirafan ibu bapa, maka berhubunglah dengan sepatutnya. Ta’aruf. Ziarah. Bincang fasal perkahwinan. Merancang. Dan sebagainya. Dan semestinya semua itu, perlu kepada pemerhatian keluarga atau penjaga. Sebab itu, digalakkan waktu pertunangan itu pendek-pendek sahaja, agar tidak berpanjangan pula perkara-perkara yang diberikan kelonggaran ini, dan tidak terlalu teruji pula perhubungan tersebut. ^^


Untuk saya, itulah namanya ‘bercinta sebelum berkahwin’.

Siapa kata tiada? ^^

Mazhab Tawakkal Buta Dalam Cinta.


“Kalau kita sukakan seseorang, jangan beritahu si dia. Nanti Allah kurangkan rasa cinta padanya. Tapi luahkan pada Allah, beritahulah Allah. Allah maha tahu jodoh kita siapa.”


Pernah dengar ayat macam ini?

Ini saya namakan sebagai Mazhab Tawakkal Buta Dalam Cinta.

Kenapa saya namakan tawakkal buta? Sebab saya tahu Allah pun tak ajar demikian rupa. ^^

Kalau suka, patutnya bagitahulah(semestinya dengan persediaan. Bukan main bagitahu sahaja. Tengoklah diri tu juga. Kalau main bagitahu sahaja, itu dah masuk dalam bab Cinta Buta). Kemudian, siapa la pandai-pandai ajar kalau bagitahu nanti Allah kurangkan rasa cinta padanya ni?

Baiklah. Saya bagi contoh buka laci. Macam mana anda mahu buka laci? Anda berdoa sahaja, atau anda usaha buka laci sambil tawakkal bahawa Allahlah yang bantu anda buka laci itu?

Satu lagi. Exam. Macam mana kita mahu cemerlang dalam exam? Berdoa sahaja, luahkan pada Allah bahawa kita tak pandai sahaja, atau kita kena belajar sungguh-sungguh, dan masa exam kena gerakkan otak dan pen untuk jawab exam? Mana satu?

USAHA.

Usaha kena ada. Itu sunnatullah. Maka bagaimana di dalam CINTA kita boleh kata:

“Kalau kita sukakan seseorang, jangan beritahu si dia. Nanti Allah kurangkan rasa cinta padanya. Tapi luahkan pada Allah, beritahulah Allah. Allah maha tahu jodoh kita siapa.”??????

Kalau macam itu, saya pun boleh kata, janganlah study. Doa sahaja pada Allah. Allah Maha Tahu Kita Cemerlang Atau Tidak. Bagaimana? Suka?

Jadi janganlah ambil Mazhab Tawakkal Buta ini. Baik dalam exam, mahupun dalam BERCINTA.

Kalau suka, bincanglah dengan ibu bapa. Cakap kat ibu bapa, saya suka si fulan, saya suka si fulanah. Preparekanlah diri. Buatlah background check. Kemudian muhasabah kembali ibadah. Kemudian kalau berkeyakinan, sila masuk melamar. Merisik. Dan sebagainya.

At least kita pun tahu kalau dia tak suka kita, tak berkenan dengan kita. Boleh cari yang lain.

Kalau pendam sahaja buat apa?

Silap hari bulan dia suka kat kita, sebab main pendam, terlepas.

Silap hari bulan dia tak suka kat kita, sebab main pendam, tup-tup dah lama sangat pendam perasaan, syok sangat-sangat, sekali kena tolak. Kecewa. Bertahun dah bazirkan hidup suka dia.

Sebab itu, usaha itu kena ada. Langkah itu perlu diambil.

Tawakkal Buta?

Jangan sekali.

Penutup: Terang lagi bersuluh, couple dengan cinta tak sama

Saya sentiasa kata pada diri saya, cinta itu mahal, suci, bersih. Jadi, takkan saya nak nodai dengan perkara-perkara yang mengotorkannya(kemurkaan Allah)? Di situ sahaja kita sudah boleh buat garisan membezakan cinta dan couple.

Jadi, tak ada masalah ya kalau bercinta tanpa couple. Masih cinta. Bersih pula.

Cinta sebelum kahwin ada.

Dan.... Siapa kata couple=cinta?

Boleh tukar definisi tu semula. ^^


[ Sumber ; Hilal Asyraf ]

Monday, December 19, 2011

Keistimewaan Pembaca & Penghafaz Al-Qur'an


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. melalui ;

Dari Ali Bin Abi Talib : " Barangsiapa yang membawa Al-Qur'an dan menghafaznya , ALLAH akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi hak Syafaat kepadanya untuk sepuluh anggota keluarganya . Mereka semua telah ditetapkan untuk masuk ke dalam syurga . "

- Ibnu Majah , Tarmizi -



Dari Abu Hurairah : " Tiada orang yang berkumpul di salah satu rumah ALLAH untuk membaca dan mempelajari Al-Qur'an kecuali mereka akan memperolehi ketenangan , diliputi rahmat , dikelilingi para malaikat dan nama mereka sentiasa disebut oleh ALLAH di kalangan para malaikat yang di langit . "

- Muslim , Tarmizi , Ibnu Majah , Abu Daud -



Dari Abdullah Ibnu Mas'ud : " Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Kitab ALLAH maka dia kan memperolehi satu pahala kebajikn dan setiap satu pahala itu digandakan sepuluh kali . Aku tidak mengatakan bahawa Alif , Lam , Mim itu satu huruf . Tetapi Alif itu satu huruf , Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf . "

- Tarmizi , Ad-Darimi -



Dari Anas : " Sesungguhnya ALLAH mempunyai keluargha yang terdiri dari makhluk manusia lalu Rasulullah ditanya : " Siapakah mereka itu , Wahai Rasulullah ? " . Jawab Baginda : " Mereka ialah Ahlul Qur'an , Pembaca dan Penghafaz Al-Qur'an dan Pengamalnya . Mereka adalah keluarga ALLAH dan orang yang istimewa bagi-Nya . "

- Ahamad , Ibnu Majah , Ad-Darimi , Al-Hakim , An-Nasa'i -



Dari Abu Umamah bin Al-Bahili : " Bacalah Al-Qur'an . Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat bagaikan memberi Syafaat kepada tuannya . "

- Muslim -



Dari Muaz bin Anas : " Sesiapa yang membaca Al-Qur'an dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya , ALLAH akan memakaikan kedua ibu bapanya mahkota pada Hari Kiamat kelak . Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah yang ada dunia ini . Maka , apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang yang membacanya sendiri ? "

- Abu Daud -

Sunday, December 18, 2011

Saturday, December 17, 2011

Sedarlah Ketika Masih Diberi Waktu


Sabda rasulullah s.a.w : "Ya Allah, jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih daripada kekotoran. Ya Allah, sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk." (Daripada Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)



Pernahkah kita terfikir,apabila melihat dunia ini? Dunia yang indah,yang diciptakan oleh Allah kini tercemar dengan maksiat-maksiat yang dilakukan oleh manusia?

Pernahkah kita terfikir akan dosa-dosa yang pernah kita lakukan? Pernahkah kita berasa malu dengan Allah terhadap maksiat-maksiat yang kita lakukan sepanjang hidup kita? Kita diberi rezeki di dunia ini, tapi adakah kita mengerjakan apa yang diperintahkan oleh-Nya?

Cuba kita fikir, kalaulah kita mati sekarang, layakkah kita ke syurga? Kita patut bersyukur kerana masih lagi hidup di dunia ini dan masih dapat bertaubat dan beribadat kepada-Nya. Jadi, gunakanlah masa sebaik-baiknya, hidup di dunia hanya sementara, carilah pahala untuk akhirat nanti. Kita sekarang berada di dunia akhir zaman.

Selepas kedatangan Dajjal, dunia ini tidak lagi penuh dengan kemaksiatan. Hanya tinggal orang soleh dan benar-benar bertakwa kepada Allah sahaja. Jadi,fikir-fikirkanlah, adakah kita ini sebahagian daripada mereka?

Jika difikirkan kembali, alangkah baiknya kalau kita ini buta, pekak dan bisu. Kenapa?
Sesungguhnya orang-orang ini diberi kelebihan atau keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Orang yang buta tidak akan dapat berzina melalui mata kerana dia tidak akan nampak aurat-aurat yang didedahkan oleh orang-orang yang tidak menjaga auratnya.

Orang yang pekak  dapat mengelakkan diri daripada zina telinga dan terjaga daripada  mendengar perkara-perkara yang tidak baik.

Orang yang bisu dapat  mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah,mengumpat,berzina melalui perkataan dan sebagainya.


Tapi, kita seharusnya bersyukur dengan pemberian Allah kepada kita pada hari ini, kerana kita dapat melihat dunia ciptaan Allah s.w.t yang indah ini.

Kita masih lagi dapat mendengar zikirullah, azan yang berkumandang dan sebagainya. Kita juga masih lagi dapat bercakap untuk menyebarkan dakwah serta membaca Al-Quran.

Jadi, butakanlah mata kita daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan zina atau dosa, bisukanlah suara kita daripada menyebarkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak baik dilafazkan. Sesungguhnya orang yang menyebarkan fitnah seperti meratah daging saudara sendiri.

Pekakkanlah telinga kita daripada mendengar perkara-perkara yang tiada faedahnya dan dengarlah sesuatu yang mendatankan kecintaan  kita kepada pencipta kita, Allah s.w.t.

Lakukanlah perkara-perkara yang memantapkan lagi iman kita.

Carilah "harta" iaitu pahala yang boleh dibawa ke akhirat. Jauhilah dosa dan maksiat.

Berdoalah kepada Allah s.w.t yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan setiap pekara di atas dunia ini. Bertaubatlah selagi kita masih diberi waktu oleh Allah. Carilah cinta Allah s.w.t, satu-satunya cinta abadi yang tiada penipuan, kecewaan dan kekal.


Wallahu'alam

Monday, December 12, 2011

Sunday, December 11, 2011

Berdoalah

Kadang-kadang kita terlupa berdoa.
Bukanlah maksud saya, kita lupa berdoa dalam erti kata mengangkat tangan dan meminta kepada Allah.
Tetapi maksud saya, kita terlupa berdoa dengan bersungguh-sungguh, memahami makna doa kita, tahu apa yang kita minta dan yakin bahawa Allah mampu dan akan memakbulkannya.
Ya, kadang-kadang, kita terlupa berdoa.


Masa susah dan senang.
Kita kadangkala, kala susah, kita mudah mengadu kepada manusia. Kita mudah menceritakan semua masalah kita kepada mereka. Itu memeang satu perkara yang positif, berbanding daripada dipendam seorang diri begitu sahaja. Tetapi persoalannya, apakah kita telah mengadu kepada Allah dengan bersungguh-sungguh?


Pernahkah saat kita kesakitan, kita benar-benar berdoa kepada Allah: "Ya Allah, aku sakit. Sembuhkanlah."


Pernahkah saat kita sukar hendak mengajak seseorang kepada kebaikan, kita bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sayang dia, aku nak ajak dia pada kebaikan, tetapi dia asyik lari daripada aku ya Allah. Lembutkanlah hatinya, dan ampunkanlah dosa aku sekiranya dosa aku yang membuatkannya menjauh.”

Pernahkah saat kita kesempitan, kita benar-benar berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sempit. Lapangkanlah.”

Dengan penuh keyakinan bahawa Allah memang akan menyembuhkan kita, akan melembutkan hati dia, akan melapangkan kehidupan kita?

Tatkala senang pula, apakah pernah kita berdoa kepada Allah agar dikekalkan kesenangan kita? Pernahkah kita berdoa kepada Allah agar diluaskan lagi rezekiNya kepada kita? Apakah kita berdoa kepada Allah agar kita tidak tertipu dengan nikmat pemberianNya?

Kadang-kadang kita terlupa berdoa.

Sebab itu kita rasa seperti ‘terputus’.

Doa, ibarat tali layang-layang.
Keimanan adalah penghubung kita kepada Allah SWT. Manifestasi daripada keimanan adalah amal. Maka amalan adalah penghubung kita kepada Allah SWT. Kita buat, kita rasa keterikatan kita dengan Allah SWT. Kita solat, membaca Al-Quran, berzikir, tadabbur alam, melakukan kebaikan-kebaikan, semua itu mengikat jiwa kita dengan Allah SWT.

Dan doa, adalah kemuncak hubungan kita dengan Allah SWT sebenarnya.
Ya, kita hanya meminta dengan yang kita rapat.
Kita hanya mengadu dengan yang kita percaya.

Maka kalau kita rapat dengan Allah, memang Allahlah yang akan kita minta kepadaNya.
Maka kalau kita percaya dengan Allah, memang Allahlah yang kita mengadu kepadaNya.

Doa, mengikat kita lebih rapat dengan Allah SWT.
Doa, adalah tanda kita amat yakin dan percaya, tanpa ragu-ragu, bahawa Allah amat rapat dengan kita.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Penutup: Maka Berdoalah.

Maka berdoalah. Susunlah doa kita. Fahami apa yang kita doakan. Yakini bahawa Allah akan memakbulkannya. Dan jangan sesekali lupa untuk berusaha dengan sesungguh-sungguhnya. Orang yang selalu berdoa akan tenang. Kerana dia akan melihat, satu persatu doanya dijawab oleh Allah SWT. Orang yang tidak berdoa, mendapat kejayaan pun, dia tidak akan rasa apa-apa ‘nilai tambah’. Dia rasa, dia dapat itu dengan usahanya sendiri. Sebab itu, apabila dia benar-benar ‘mati usaha’, dia akan putus asa dan tidak bangkit semula. Kita, bila ‘mati usaha’, kita tetap merasakan bahawa – Allah itu ada, dan Dia akan membantu kita. Kerana kita sering berdoa kepadaNya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...