Saturday, November 27, 2010

Kepentingan Menjadi Pemimpin



K
ehebatan dan kebijaksanaan manusia banyak bergantung pada proses pembelajaran yang mereka tempuhi sepanjang hidup mereka. Proses pembelajaran boleh berlaku melalui pelbagai proses. Antaranya, proses pendidikan formal, pengalaman, pemerhatian, kekeluargaan dan rakan sebaya. Antara proses pembelajaran yang sangat mempengaruhi proses remaja ialah pengalaman itu sendiri.

   Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk para pelajar melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik (kokurikulum) di sekolah mereka. Ada banyak perkara yang tidak dapat dipelajari dan difahami di dalam kelas, tetapi boleh dipelajari dengan mengambil tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pemimpin.

   Bukanlah ini bermakna bahawa akademik tidak berapa penting. Bahkan, akademik sangat penting untuk masa depan. Namun, kecemerlangan akademik belum cukup untuk menjamin bahawa seseorang itu bijaksana dan berkemampuan untuk melaksanakan tugasan, berinteraksi, berkomunikasi, mengurus masa, mengendalikan orang lain, mengendalikan mesyuarat, dan bermacam-macam lagi kemahiran kepimpinan yang juga sangat penting untuk masa depan.


   Antara faedah dan manfaat yang diperolehi apabila menjadi pemimpin ialah:

1. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN MEMIMPIN
Ia adalah kemahiran untuk menjadi seorang individu yang dihormati oleh orang lain. Ia bukanlah kemahiran "boss" yang mengarah-arah, tetapi kemahiran untuk mencipta "aura" yang menjadikan orang lain menghormati dan mengagumi anda. Jika anda tidak menjadi pemimpin, anda tidak akan mempunyai kesempatan untuk belajar dan berlatih kemahiran ini.

2. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN MENGURUS ORGANISASI
Ia adalah kemahiran untuk memimpin organisasi bgi mencapai matlamat dan sasaran yang hendak dicapai. Ia berkait dengan kemahiran menentukan posisi, menetapkan misi, dan untuk merealisasikan misi tersebut agar menjadi realiti. Ia adalah kemahiran yang sangat penting apabila anda berada dalam alam kerjaya nanti.

3. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI
Hal ini merupakan satu lagi kemahiran yang sangat penting untuk masa depan kita. Ia berkait rapat dengan kemahiran menyampaikan idea, kemahiran mempengaruhi orang, kemahiran memujuk, dan kemahiran menghadapi penolakan.

4. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN KERJA BERPASUKAN
Apabila anda berkejaya nanti, antara faktor yang paling penting dalam menentukan prestasi anda ialah keupayaan anda bekerjasama dengan orang lain sebagai satu pasukan. Antara perkara yang perlu kita pelajari ialah kemahiran memotivasi, kemahiran mengagihkan tugasan, dan kemahiran menghadapi konflik.

   Selain daripada itu, dengan menjadi seorang pemimpin di sekolah, anda juga akan mendapat pengalaman memikul tanggungjawab dan peranan di tempat anda. Pengalaman seperti itu akan dapat mematangkan anda sebagai seorang remaja, dan seterusnya akan menjadikan anda seorang yang lebih bijak dan berdaya saing.
Apabila kita memikul tanggungjawab, kita sebenarnya mempunyai peranan yang lebih berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai jawatan yang penting di sekolah. Menjadi seorang pemimpin bereti kita belajar untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah yang bakal menimpa. Mungkin pada peringkat awal kita akan berasa sedih dan gusar, namun percayalah bahawa, jika anda sentiasa berfikiran positif dan berkeinginan untuk belajar dan belajar; pastinya anda akan menjadi seorang remaja yang jauh lebih hebat daripada sebelum ini. Kehebatan yang mungkin tidak pernah anda bayangkan.

   Namun begitu, keseimbangan antara akademik dan kepimpinan haruslah perlu diberikan tumpuan. Keseimbangan bermaksud; memastikan bahawa prestasi kedua-duanya sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik. Pastikan wujud peningkatan dalam kedua-dua bidang dari semasa ke semasa. Yang anda perlu sentiasa fokus ialah; perkara yang menjadi kayu ukur kepada prestasi yang hebat. Jika dalam akademik, pengukur yang jelas ialah peperiksaan dan ujian. Jika dalam kepimpinan, kayu ukurnya adalah lebih subjektif. Mungkin tahap disiplin yang semakin baik, atau perlaksanaan program yang teratur dan bermanfaat, atau penerusan organisasi yang lancar dan sistematik.

   Walau apa-apa pun kedudukan anda sekarang, pastikan bahawa anda belajar untuk menyeimbangkan antara pembelajaran akademik dan bukan akademik. Pelajari bagaimana untuk mengurus masa, mengendalikan kerja, dan sebagainya. Pada masa yang sama, tingkatkan kemahiran belajar anda. Percaya kepada potensi cemerlang yang ada pada anda, dan belajarlah dari semasa dari semasa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...