Sunday, November 21, 2010

Rumah Ibadat 5 Dalam 1?

RUMAH IBADAT YANG MENEMPATKAN 5 AGAMA DI STAROYE ARAKCHINO KAZAN, RUSIA

  Ketika di bawah pemerintahan komunis dan sosialis di Rusia, penduduk Muslim agak tertekan kerana banyak kegiatan keagamaan dihalang hingga masjid dirobohkan, kitab suci dibuang malah madrasah ditutup atau tidak dibenarkan beroperasi. Hanya bermula pada awal 1990-an kerajaan Rusia mahu rakyatnya hidup harmoni dan aman damai tanpa ada konflik dan sekatan beragama.

   Walaupun kira-kira 65 peratus daripada 145 juta penduduk Rusia menganut Kristian Ortodoks, agama terus dibenarkan berkembang. Cahaya Islam mula menerangi bumi Rusia dan sudah wujud angin perubahan dan era kebangkitan Islam di republik itu. Malah jumlah rakyat yang beragama Islam terus bertambah setiap tahun dan laporan terbaru menunjukkan umat Islam di republik itu mencecah 25 juta orang, lebih ramai daripada penduduk Islam di Malaysia!

   Kini ada usaha di Tatarstan, salah satu negeri termaju di dalam Persekutuan Rusia untuk memastikan penduduknya seramai 4.5 juta hidup dalam suasana harmoni. Penduduk bebas menganut apa saja agama asalkan tidak bermusuhan atau bersengketa.

   Sebuah kawasan di Staroye Arakchino, kira-kira 20 minit perjalanan dengan kereta dari pusat bandar raya Kazan, ibu negeri Tatarstan memperlihatkan usaha keharmonian beragama direalisasikan apabila lima rumah ibadat diletakkan dalam satu kompleks yang mengandungi masjid, gereja, kuil, tokong dan sinagoge (rumah ibadat Yahudi). Ini satu toleransi agama-agama lain terhadap Islam.

   Kompleks itu mula dibina sejak enam tahun lalu tetapi tergendala tiga tahun kemudian. Kini dalam proses pengubahsuaian peringkat akhir. Kerja-kerja membaiki kubah masjid, atap dan dinding gereja masih dilakukan.

   Konsep bangunan yang cantik dan berwarna-warni menyebabkan pengunjung terpegun untuk melihat dari dekat seni khat ayat suci al-Quran yang mengelilingi kubah masjid selain pemasangan batu marmar pada dinding semua rumah ibadat itu.

   Kubah masjid berwarna hitam dengan bebola bersalut emas pada bahagian tiang menara yang dipasang lambang bulan. Mengelilingi kubah ialah ayat-ayat suci al-Quran, manakala kubah gereja pula berwarna hijau kuning dan rumah ibadat Yahudi berwarna petak biru putih. Reka bentuk rumah ibadat itu dipadankan daripada Asia Barat dan Eropah.

   Semuanya ditempatkan dalam satu kompleks seluas lebih tiga hektar yang dipisahkan di antara jalan raya dan landasan kereta api. Dari jauh baik penumpang kereta api atau bas, mereka pasti akan dapat melihat keindahan kompleks itu. Malah, pengunjung disediakan tempat khas untuk bergambar berlatar belakangkan kompleks rumah ibadat itu.

   Memang luar biasa usaha mendirikan lima rumah ibadat dalam satu kompleks yang tidak pernah dilihat di mana-mana tempat di muka bumi. Kerajaan Tatarstan turut merestui pembinaan itu sebagai satu langkah bermanfaat kepada penduduk berbilang agama di Tatarstan walaupun lebih 60 peratus beragama Islam. Bagi kerajaan, kompleks itu juga boleh dijadikan satu objek dan daya tarikan pelancong.

KOMPLEKS INI JUGA MENJADI TARIKAN PENGUNJUNG KE TATARSTAN
   Menurut buku panduan pelancongan yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan Tatarstan, usaha mendirikan `Kompleks Ibadat Untuk Semua Agama` adalah berdasarkan ilham dan kreativiti seorang arkitek dan seni ukir terkenal bernama Ildar Khanov berasal dari Naberezhnye Chelny di tanah miliknya yang didermakan untuk satu projek bertemakan keharmonian pada April 1994.

   Ildar Khanov dilaporkan berkata, dalam satu mimpi, dia didatangi seorang lelaki berjanggut sambil berbisik; "Ildar, apabila kamu bangun esok hari, binalah tapak asas bangunan rumah ibadat yang merangkumi semua agama di dunia". Setelah bangun pada jam 6.00 pagi, dia terus menuju ke satu kawasan di tanah miliknya sambil berfikir bagaimana untuk merealisasikan mimpinya. Dia melakar di atas kertas reka bentuk rumah ibadat berdasarkan imaginasinya. Selepas itu, dia mengambil cangkul membersihkan kawasan tersebut. Hari demi hari dan sedikit demi sedikit diusahakannya. Pada peringkat permulaan, dia dilaporkan mengeluarkan belanja sendiri untuk mendirikannya.

   Kerajaan Tatarstan memuji usaha Ildar yang sekurang-kurangnya menjadi satu daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara dan bercadang untuk mengeluarkan dana bagi mencantikkan lagi kompleks itu. Ia adalah yang pertama di Rusia dan mungkin yang pertama di dunia apabila lima rumah ibadat dikumpulkan di dalam satu kompleks.

APA KATA DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM?  


    "Tidak ada salahnya pembinaan kompleks rumah ibadat seperti itu di negara ini sekiranya ia hanya sekadar `model` rumah ibadat untuk tuuan pelancongan. Kita boleh bina seperti model rumah Malaysia di Melaka yang tidak diduduki. Ia dibina supaya pelancong tidak perlu pergi jauh untuk melihat pelbagai bentuk rumah yang ada di seluruh negara di dalam satu kawasan. Kita harus elakkan pembinaan seperti ini dari terjadi di negara ini walaupun untuk tujuan perpaduan bangsa dan agama. Soalnya, apakah kita tidak boleh mencapai keharmonian beragama dengan tidak membina rumah ibadat ini di satu tempat sebagaimana di Rusia?.

   Pembinaan kompleks seperti itu juga memungkinkan masyarakat Islam di negara kita berhadapan dengan masalah akidah umat Islam yang lemah pegangan agamanya terutama anak-anak remaja yang mungkin akan keliru hendak ke rumah ibadat yang mana. Mana tahu tiba-tiba mereka mahu pergi ke gereja pula?. Pembinaan mana-mana rumah ibadat juga mesti mengambil kira peratusan penganutnya. Jika hendak membina masjid sekalipun harus dilihat kepada peratusan penduduk Islam yang ada di sesuatu kawasan. Jika terlalu memikirkan mahukan keharmonian dengan membina kesemuanya sekali gus, mungkin gereja yang dibina tidak efektif disebabkan hanya ada beberapa rumah penghuninya beragama Kristian.

   Pemimpin masyarakat juga mesti menjaga akidah masyarakat Islam yang lemah dan rapuh pegangannya. Mereka yang lemah inilah boleh terkeliru apabila disebut masjid pun gereja dan gereja pun disebut masjid. Kita kena guna analogi apa yang berlaku kepada Muaz bin Jabal yang menjadi imam solat kerana menggantikan Nabi Muhammad SAW. Orang ramai mengadu kepada nabi kerana Muaz membaca ayat yang terlalu panjang dalam solat sehingga sebahagiannya terpaksa *mufaraqah solatnya. Kaum ibu mengadu anak-anak mereka menangis disebabkan terlalu lama solatnya. Nabi SAW menasihatkan Muaz supaya jangan membaca ayat yang panjang kerana perlu fikirkan keadaan orang lain yang menjadi makmumnya. Namun demikian, perkara ini tidak mengapa dilakukan sekiranya bersolat secara sendirian.

   Kisah Umar Al-Khattab ketika melakukan hubungan diplomasi dengan orang Kristian yang enggan bersolat di dalam gereja walaupun tempatnya bersih. Umar kata `tidak` kerana Nabi kata setiap tanah itu adalah masjid. Umar tidak bersembahyang di dalam gereja kerana sebagai pemimpin dia perlu menjaga kelakuannya agar tidak timbul fitnah sehingga membolehkan masyarakat memandang serong kepadanya.

   Apa yang berlaku di Rusia ialah contoh toleransi masyarakat Kristian terhadap orang Islam bukannya toleransi masyarakat Islam dengan Kristian. Bagaimanapun, situasi ini tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Kita jangan terkejut jika di Maghribi dan Jordan ada masjid yang kedudukannya membelakangi gereja dan ada gereja yang membelakangi masjid. Perkara yang perlu dilakukan masyarakat Islam hari ini selain berdakwah dengan mempamerkan akhlak yang mulia dan bersikap toleransi iaitu memudahkan setiap bangsa mengamalkan agamanya dengan bebas. Dalam sejarah, Malaysia didiami dan didatangi orang yang berjaya mengislamkan sebahagian besar penduduknya dan sejarah ini sudah memperlihatkan agama Islam sebagai agama murni yang menjadi anutan sultan dan pemimpin ketika itu yang perlu dijaga. Walaupun kita bercakap soal keharmonian dan perpaduan tetapi kita tidak akan kompromi dalam soal akidah. Misalnya dalam isu yang hangat pada 2006 apabila wujudnya kongsi raya yang kebetulan perayaan hari bangsa lain jatuhnya hampir sama dengan hari raya Aidilfitri. Wujud istilah Deeparaya sehingga menyebabkan beberapa ulama mengeluarkan pandangan mengatakan haram dan murtad merayakan perayaan agama lain.

   Dalam gejala sosial pula, orang Melayu hebat apabila dikaitkan dengan kes buang anak, bohsia, bohjan, sumbang mahram dan merempit. Manakala Cina pula lebih kepada berjudi, pesta seks, GRO, dan India pula ramai yang jadi samseng dan bunuh-membunuh. Perkara yang dibimbangkan ialah jika masyarakat nampak orang India dia akan pandang mereka samseng walaupun anya segelintir kaum India berkelakuan begitu.

   Agama selama-lamanya tidak boleh berpadu dan sebab itulah ia tidak boleh dikatakan perpaduan beragama tetapi keharmonian beragama. Agama tidak boleh dicampuradukkan kerana ritual masing-masing dalam melakukan amal ibadat adalah berbeza. Umat Islam mesti mempunyai akidah yang kuat, pegangan sendiri dan pada masa yang sama perlu menjaga diri, berlemah lembut dengan orang bukan Islam tetapi bertegas sekiranya mereka cuba untuk memerangi. Kita juga mesti ada komitmen dan toleransi beragama dan suasana yang harmoni harus diaplikasikan dengan komited. Pada zaman Nabi SAW, agama Islam adalah penyambung ahli kitab yang percaya kepada tauhid yakni ketuhanan yang satu dan menerima Nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir. Sebab itulah sembelihan mereka masih boleh dimakan dan dibolehkan berkahwin denganahli kitab."

*mufaraqah :

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...