Tuesday, November 23, 2010

Marah? Kawallah Ia!

   "Geramnya aku, sakitnya hati! Dia ingat dia bagus sangat? Ingat dia hebat sangat di sekolah ni? Dia fikir dia cantik sangat!" Maka berbakul-bakullah kalimah @?!&%$# yang keluar dari mulut kita. Maklumlah orang tengah marah, macam-macam boleh keluar tanpa disedari, tidak peduli lagi bulan Ramadan atau tidak.

   Marah adalah cetusan perasaan akibat terlalu benci kepada sesuatu (haiwan, orang, atau benda-benda) yang menyakiti diri atau hatinya. Menurut Imam Ghazali, marah berpunca daripada cebisan api neraka yang bernyala-nyala. Kepanasan itu naik ke sudut hati lalu bersembunyi menjadi bara yang diliputi abu. Bara itu bermukim dalam hati bagaikan api dalam sekam. Apabila berlakunya sesuatu peristiwa, maka meletuslah bara itu menjadi api yang menyala.



   Rasulullah SAW melarang umatnya melayan rasa marah. Seorang lelaki pernah datang bertemu Rasulullah SAW untuk meminta nasihat. Baginda bersabda, "Jangan marah." Lelaki itu mengulangi lagi dan baginda menjawab, "Jangan marah." (Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah) Malah Rasulullah SAW menyatakan, "Bukan seorang yang kuat dengan pergelutan. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)


TIGA KATEGORI MANUSIA

1. Manusia yang tiada sifat marah. Dalam keadaan tertentu, orang yang tiada marah dikatakan sebagai orang yang lemah dan tidak mempunyai rasa cemburu. Keadaan ini dicela agama. Walaupun sifat marah dicela agama, namun dalam keadaan tertentu, marah tetap diperlukan. Marah yang diperlukan adalah apabila hak orang Islam dicabul. Dalam pada itu, orang yang lemah sifat marahnya seolah-olah tiada harga diri. Dia tiada upaya menjaga kehormatan diri sendiri dan orang lain, malah jika dihina, dia tidak melawan.

2. Manusia yang mempunyai sifat marah yang melampau. Hal ini merujuk kepada kemarahan yang tidak dapat dikawal, sehingga terkeluar daripada pertimbangan akal dan agama. Tanda-tanda zahir orang yang marah terlampau biasa ditunjukkan dalam keadaan luar biasa, kulit bertukar merah padam, gerak geri tidak menentu, kaki tangan menggeletar. Mulutnya akan jadi lancang, boleh menyerang orang lain atau membahayakan diri sendiri, dan dalam hati timbul rasa dendam dan ingin membalas dendam.

3. Manusia yang sifat marahnya dalam keadaan pertengahan. Sifat marah itu dicela, tetapi jika tiada marah langsung, juga dicela. Maka manusia sebaik-baiknya berpegang kepada pimpinan agama dalam mengendalikan diri. Ada kalanya marah itu perlu dan ada kalanya marah itu tidak perlu.


BAGAIMANA MENGHILANGKAN MARAH?

1. Berjuang menentang rasa marah. Jika perkara yang anda sukai adalah perkara yang dilarang, maka berlatihlah untuk menolak kesukaan itu. Begitu juga rasa marah, anda harus latih diri dengan cara bersesuaian untuk membiasakan diri supaya tidak jadi pemarah. Umpamanya, ada orang yang apabila marah, akan berjalan-jalan, atau ada yang duduk diam membisu.

2. Hilangkan merah padam di wajah. Jika kemarahan di puncak, berusahalah untuk melemahkannya dengan mengawal diri sehingga kesan merah padam di wajah tidak kelihatan lagi. Anda boleh menarik nafas panjang-panjang dan kemudian melepaskannya dengan perlahan-perlahan.

3. Ingat Allah. Alihkan perhatian dan pemikiran pada Allah. Jika kita rasa marah kita sudah ke kemuncak, maka ingatlah marah Allah lebih berlipat kali ganda yang tidak tergambar oleh minda kita.


4. Alih perhatian pada perkara lain. Fikirkankanlah perkara lain ketika anda diamuk marah kerana jika fikiran masih ditumpukan pada punca kemarahan, hati akan tambah berbara.

5. Segera ambil wuduk. Wuduk punya hikmah besar yang dapat menurunkan api kemarahan. Apabila berwuduk, maka dengan sendiri kita mengingati Allah yang mensyariatkan amalan tersebut. Ini sesuai dengan sifat air yang sejuk dan memadamkan api.

6. Hapuskan semua sifat kemungkaran. Biasanya punca tersinggung atau marah kerana tabiat diri sendiri yang menyombong, ego tak bertempat atau suka cari gaduh. Pantang sombongnya dibantah, umpatnya disanggah, atau egonya disinggung, cepatlah dia melenting marah. Tetapi percayalah, jika sifat-sifat bongkak ini dijauhi, insya-Allah sifat pemarah juga akan hilang.

7. Marah bukan sikap orang berani. Ada orang jahil berfikir, pemarah itu sifat yang terpuji dan lambang keberanian. Itu tanggapan yang silap! Marah dan berani sama sekali berbeza kerana orang yang berani selalunya tidak cepat marah.

8. Amalan doa jauhi marah. Pertama, bacalah kalimah taawuz yang disuruh oleh Rasulullah SAW iaitu, "Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Sulaiman bin Syarad). Kedua, jika masih marah, duduklah jika anda sedang berdiri, jika sedang duduk, maka berbaringlah, ini dapat meredakan kemarahan. Ketiga, sunat mengambil wuduk kerana kepanasan marah boleh dikurangkan dengan air sembahyang. (Maksud hadis riwayat Abu Daud daripada Athiyah as-Sa`di)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...