Sunday, November 21, 2010

Hikmah Senyuman



 Sering kali kita akan dilanda perasaan yang bercampur-baur seperti resah, sedih, marah dan gembira dalam kehidupan sehari-hari. Tidak kira apa-apa pun perasaan yang melanda diri ketika itu, sentiasalah ukirkan senyuman kerana senyum mempunyai hikmahnya yang tersendiri.



SENYUMAN SEBAGAI SEDEKAH

   Betapa beruntungnya mereka yang menjadikan sedekah sebagai amalan harian. Sedekah dapat megikis sifat tamak dan bakhil dalam diri. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk harta benda atau wang ringgit, bahkan senyuman merupakan sedekah. Sepertimana yang telah diriwayatkan dari Ahmad; "Daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda, "Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya".

    Amat mudah untuk mendapat pahala melalui sedekah, hanya perlu bermanis muka atau senyum. Mengapakah kita berasa sukar untuk menguntum senyuman kepada saudara seagama dan juga yang berlainan agama? Sedangkan hal ini yang dituntut oleh agama.



   Bolehkah kita memaksa diri kita tersenyum? Kajian telah menunjukkan bahawa walaupun kita memaksa diri untuk senyum, namun otak kita akan tertipu dan akan menghasilkan hormon kegembiraan. Hal ini akan menyebabkan kita mahu terus tersenyum lagi. Tidakkah kita kira berasa rugi andainya kita tidak menguntumkan senyuman? Hal ini demikian kerana kita terlepas untuk mendapatkan pahala walaupun dengan cara yang paling mudah.

SENYUMAN SEBAGAI TERAPI

   Joseph Addison berkata, "What sunshine is to flowers, smiles are to humanity". Senyuman merupakan kurniaan Allah SWT yang hebat kerana mampu memberikan kebahagiaan kepada orang lain dan ketenangan kepada diri sendiri, apabila menjadikan senyum sebagai terapi yang sangat berkesan. Antara praktis yang paling mudah untuk dilakukan untuk tersenyum termasuklah dengan mengimbau memori indah atau dengan melihat gambar si kecil bayi.

   Tidak kurang juga yang menyatakan senyuman itu awet muda. Mungkin juga ada kebenaran di sebalik penyataan ini. Hal ini demikian kerana apabila kita senyum, otot-otot di sekitar muka akan tegang. Hal ini akan melambatkan proses penuaan melalui kenduran otot muka. Bahkan, senyumlah ketika anda sedang bersedih atau marah kerana anda akan rasa lebih tenang dan mampu berfikir dengan lebih rasional. Oleh itu, apa ditunggu lagi? Senyumlah sekarang!

 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...