Saturday, November 27, 2010

Kepentingan Menjadi Pemimpin



K
ehebatan dan kebijaksanaan manusia banyak bergantung pada proses pembelajaran yang mereka tempuhi sepanjang hidup mereka. Proses pembelajaran boleh berlaku melalui pelbagai proses. Antaranya, proses pendidikan formal, pengalaman, pemerhatian, kekeluargaan dan rakan sebaya. Antara proses pembelajaran yang sangat mempengaruhi proses remaja ialah pengalaman itu sendiri.

   Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk para pelajar melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik (kokurikulum) di sekolah mereka. Ada banyak perkara yang tidak dapat dipelajari dan difahami di dalam kelas, tetapi boleh dipelajari dengan mengambil tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pemimpin.

   Bukanlah ini bermakna bahawa akademik tidak berapa penting. Bahkan, akademik sangat penting untuk masa depan. Namun, kecemerlangan akademik belum cukup untuk menjamin bahawa seseorang itu bijaksana dan berkemampuan untuk melaksanakan tugasan, berinteraksi, berkomunikasi, mengurus masa, mengendalikan orang lain, mengendalikan mesyuarat, dan bermacam-macam lagi kemahiran kepimpinan yang juga sangat penting untuk masa depan.


   Antara faedah dan manfaat yang diperolehi apabila menjadi pemimpin ialah:

1. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN MEMIMPIN
Ia adalah kemahiran untuk menjadi seorang individu yang dihormati oleh orang lain. Ia bukanlah kemahiran "boss" yang mengarah-arah, tetapi kemahiran untuk mencipta "aura" yang menjadikan orang lain menghormati dan mengagumi anda. Jika anda tidak menjadi pemimpin, anda tidak akan mempunyai kesempatan untuk belajar dan berlatih kemahiran ini.

2. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN MENGURUS ORGANISASI
Ia adalah kemahiran untuk memimpin organisasi bgi mencapai matlamat dan sasaran yang hendak dicapai. Ia berkait dengan kemahiran menentukan posisi, menetapkan misi, dan untuk merealisasikan misi tersebut agar menjadi realiti. Ia adalah kemahiran yang sangat penting apabila anda berada dalam alam kerjaya nanti.

3. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI
Hal ini merupakan satu lagi kemahiran yang sangat penting untuk masa depan kita. Ia berkait rapat dengan kemahiran menyampaikan idea, kemahiran mempengaruhi orang, kemahiran memujuk, dan kemahiran menghadapi penolakan.

4. DAPAT MEMPELAJARI KEMAHIRAN KERJA BERPASUKAN
Apabila anda berkejaya nanti, antara faktor yang paling penting dalam menentukan prestasi anda ialah keupayaan anda bekerjasama dengan orang lain sebagai satu pasukan. Antara perkara yang perlu kita pelajari ialah kemahiran memotivasi, kemahiran mengagihkan tugasan, dan kemahiran menghadapi konflik.

   Selain daripada itu, dengan menjadi seorang pemimpin di sekolah, anda juga akan mendapat pengalaman memikul tanggungjawab dan peranan di tempat anda. Pengalaman seperti itu akan dapat mematangkan anda sebagai seorang remaja, dan seterusnya akan menjadikan anda seorang yang lebih bijak dan berdaya saing.
Apabila kita memikul tanggungjawab, kita sebenarnya mempunyai peranan yang lebih berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai jawatan yang penting di sekolah. Menjadi seorang pemimpin bereti kita belajar untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah yang bakal menimpa. Mungkin pada peringkat awal kita akan berasa sedih dan gusar, namun percayalah bahawa, jika anda sentiasa berfikiran positif dan berkeinginan untuk belajar dan belajar; pastinya anda akan menjadi seorang remaja yang jauh lebih hebat daripada sebelum ini. Kehebatan yang mungkin tidak pernah anda bayangkan.

   Namun begitu, keseimbangan antara akademik dan kepimpinan haruslah perlu diberikan tumpuan. Keseimbangan bermaksud; memastikan bahawa prestasi kedua-duanya sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik. Pastikan wujud peningkatan dalam kedua-dua bidang dari semasa ke semasa. Yang anda perlu sentiasa fokus ialah; perkara yang menjadi kayu ukur kepada prestasi yang hebat. Jika dalam akademik, pengukur yang jelas ialah peperiksaan dan ujian. Jika dalam kepimpinan, kayu ukurnya adalah lebih subjektif. Mungkin tahap disiplin yang semakin baik, atau perlaksanaan program yang teratur dan bermanfaat, atau penerusan organisasi yang lancar dan sistematik.

   Walau apa-apa pun kedudukan anda sekarang, pastikan bahawa anda belajar untuk menyeimbangkan antara pembelajaran akademik dan bukan akademik. Pelajari bagaimana untuk mengurus masa, mengendalikan kerja, dan sebagainya. Pada masa yang sama, tingkatkan kemahiran belajar anda. Percaya kepada potensi cemerlang yang ada pada anda, dan belajarlah dari semasa dari semasa.

Friday, November 26, 2010

Pengenalan Majlis Pimpinan Pelajar SAMBBST


M
ajlis Pimpinan Pelajar (MPP) adalah satu badan kepimpinan pelajar tertinggi di SAM Bandar Baru Salak Tinggi. Ianya diilhamkan oleh pihak pentadbiran sekolah yang mahukan satu corak kepimpinan pelajar yang mempunyai asas kukuh di samping meletakkan kepimpinan pelajar di bawah satu organisasi besar dan memudahkan pengurusan sekolah dan asrama. Sistem ini dimulakan pada tahun 2006 dan akan diteruskan selagi mana ia relevan dengan suasana dan persekitaran sekolah. 
POSTER MPP 08/09


POSTER MPP 09/10
***Untuk mengetahui senarai Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) 09/10, klik di sini.

***Untuk melihat senarai Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) 10/11, klik di sini.

Akal Dan Hati



Akal : Assalamualaikum...

Senyap sunyi.  Salamnya tak bersambut. Dicuba lagi.

Akal : Assalamualaikum...

Masih tiada yang menyambut. Dicuba lagi untuk kali ketiga. Alhamdulillah, terdengar bunyi kunci dibuka dari dalam. Kelihatan Hati di sebalik pintu dengan rupa yang lesu..

Hati : Waalaikumussalam... Akal rupanya. Ingatkan siapa tadi, masuklah...

Akal pun melangkah masuk ke dalam kamar Hati. Dilihatnya Hati terus berbaring di sofa. Akal ikut duduk di kerusi yang lain..

Akal : Kita dengar Hati tak sihat. Itue kita datang melawat. Hati ok tak?

Hati : Aaa..haah..tak sihat sikit. Kepala cam pening-pening, pastu badan pun cam sakit-sakit, penat sangat kot...

Akal : Hmm...maybe la kot. Nampak macam Hati gelap sikit. Hati pergi main berjemur ke?

Hati : Eh, takde la. Takde main berjemur pun. Teman Nafs je pergi jalan-jalan, shopping-shopping sikit...

Akal : Ohh... Ye ke...

Suasana sepi. Dilihatnya Hati sibuk memicit-micit kepalanya sambil memejamkan mata.

Akal : Hati, kita nak cakap sikit la...

Hati : Hmm...kenapa, Akal?

Akal : Takde la... Kita rasa sejak Hati berkawan baik dengan Nafs tu, kita berdua dah macam makin jauh je. Bukanlah kita jeles ke ape. Cuma kita macam rindulah nak spend time, borak-borak dengan Hati macam dulu-dulu.

Hati : Hmm...agak la. Takpe, next time kita keluar bertiga eak.

Akal : Hmm... Kita bukannya tak nak, tapi kita rasa Nafs tu macam tak suka je kat kita. Bila kita datang dekat je kalau korang tengah berborak, mesti dia tarik Hati pergi tempat lain. Kalau dia nampak Hati tegur kita pun, selalu kita nampak dia macam jeling kita.

Hati : Eh, mana ada... Nafs tu baik tau. Seronok berkawan dengan dia. Dia pandai cari tempat best nak pergi enjoy. Hari tu dia bawak Hati pergi satu tempat ni. Dengar lagu...seronokkk..! Ada orang nyanyi-nyanyi sume, pastu dia ajar Hati macam mana nak main game dekat archade tu, and then, dia kenalkan Hati kat kawan-kawan dia...lelaki..hoho..hensem-hensem sume. Tapi tu la, cam ramai yang dah ada GF la... Tapi, jeles betul... Tapi takpe... Ada je yang still single-mingle.. hoho.. nanti kalau Akal nak, Hati bawak Akal pergi sana ye...

Akal terdiam seketika sebelum meneruskan kata-katanya.

Akal : Hati, kita rasa Hati dah berubah la...

Hati terkejut. Bingkas dia bangun dari baringnya dan duduk menghadap Akal.

Hati : Hmm...?? Berubah...?? Eh, takde la... Mana ada... Hati macam ni gak la, maintain je...

Akal : Tak la..dulu Hati tak macam ni... Dulu mana ada Hati suka pergi tempat-tempat macam tu. Tau pasal tempat tu pun tak pernah. Pastu mana pernah Hati usha-usha lelaki macam tu. Hati kan tau tak elok buat camtu. Sekarang pun Hati dah jarang pergi lawat Mak Usrah. Dia selalu tanya pasal Hati tau.

Hati : Ala... dulu Hati tak tau sebab takde orang beritahu. Lagi pun, bukan selalu pun pergi. Baru 4 kali pergi. Akal ni...macam mak orang la.

Akal : Tapi Hati, Hati kan tau benda tu salah.

Hati : Ala... salah apanya. Hati bukan buat pape pun. Hati just nak enjoy je.

Akal : Enjoy apanya kalau dok buat tambah dosa camtu, Hati..??

Hati : Mana ada tambah dosa..?? Bukannya Hati pegang-pegang diorang ke apa, borak-borak je.

Akal : Hati... Hati dah meremehkan hal dosa pahala ni. Hati... Hati tau tak kalau Hati buat benda-benda yang ALLAH larang tapi tanpa perasaan yang benda tu salah, Hati akan dapat satu titik hitam kat badan Hati? Cuba Hati tengok. Hati perasan tak yang Hati dah makin gelap. Hati nak ke jadi hitam betul?

Hati terdiam. Akal meneruskan bicaranya.

Akal : Kita tau Hati sekarang selalu tidur lambat. Selalu dengar Hati bangun lambat. Selalu termiss Subuh. Isyak pun kadang-kadang Hati terlepas sebab tertidur, betul tak..??

Hati mendiamkan diri, tapi masih menganggukkan kepala.

Akal : Boleh kita tau kenapa?

Hati : Hati penat je. Tu selalu tertidur awal, bangun lambat.

Akal : Kenapa Hati penat?

Hati : ... sebab teman Nafs.

Akal : Tak cakap dengan dia yang Hati penat?

Hati : Hmm... dia tu macam keras kepala sikit. Kalau Hati cakap Hati penat, dia still tarik Hati ikut dia gak. Kalau Hati cakap Hati tak mau ikut, nanti dia merajuk. Tak mau cakap dengan Hati. Hati malas nak ribut-ribut. Nanti makin serabut kepala Hati, makin penat nanti.

Akal : Tapi still Hati penat gak kan sekarang?

Hati mendiamkan diri semula.

Akal : Hati, kita nak cakap. Daripada Hati penat sebab ikut Nafs yang tak dapat apa-apa, dengan kalau Hati tolak permintaan Nafs tapi dapat pahala, yang mana satu lebih beruntung?

Lambat Hati menjawab.

Hati : …tolak...

Kelihatan Hati menundukkan kepalanya.

Akal : Hati, kita nasihat Hati sebab kita sayang Hati. Kita tak mau Hati makin jauh and makin banyak buat benda salah. Kita tak tau Hati tau ke tak ni, tapi kita selalu nampak Nafs tu duduk-duduk dengan Syaitan. Hati tau kan Syaitan tu pelajar bermasalah. Siap ada geng lagi. Kita tak mau Hati terikut sampai jadi geng tu. Bukannya kita nak sangka buruk ke apa, just langkah berjaga-jaga je.

Hati kelihatan terkejut.

Hati : Eh... Nafs kata dia tak kawan dah dengan Syaitan tu. Dia kata diorang dah tak sependapat, so dia dah tak join dah geng tu.

Akal : Hmm...maksudnya dia dah tipu Nafs la tu. Bukan sekali kita nampak diorang tu jumpa...banyak kali gak la. Tapi kita tak sempat-sempat nak beritahu Hati sebab dia selalu ada kat sebelah Hati.

Hati : Tapi Hati tak paham. Kenapa dia nak tipu Hati? Tak paham la... Ingatkan kitorang kawan baik.

Akal : Hati...ingat tak ayat yang Mak Usrah pernah bagi kita dulu? Yang Syaitan memang dah berjanji untuk memesongkan manusia dari jalan ALLAH sampai tibanya hari akhirat. And dia memang akan sengaja buat macam dunia ni terasa indah untuk kita sampaikan kita terpedaya. Hati pun tau kan... Hati yang control seseorang tu... Sebab tu kita rasa dia aim Hati.

Hati kelihatan kecewa. Terlihat kesedaran terlukis di mukanya.

Akal : Hati, kita nak cakap banyak pun, kita pun bukan tau sangat. Ada benda yang kita tak tau and kita pun tak paham sangat. Kalau Hati nak, kita boleh kenalkan sorang kawan kita ni...nama dia Furqan, insyaALLAH dia boleh tolong terangkan sume-sume yang Hati nak tau and tanya.

Hati memandang Akal dengan pandangan terharu.

Hati : Terima kasih Akal sebab sedarkan Hati. Beruntung sungguh Hati dapat kawan macam Akal ni.

Akal : Ala...kita bukan buat pape pun. Sume tu ALLAH yang izinkan.

Kedua-dua pun tersenyum.

Akal : Ok la
ati, Hati... Kita nak kena pergi ni. Ada hal nak kena settlekan. Hati rehat la ye. Nanti bila dah sihat balik, jenguk-jenguk la Mak Usrah. Dia rindu betul dengan Hati. Baby Iman dengan Islam pun dah lama tak kena timang dengan Hati.

Hati : InsyaALLAH... kalau Akal rajin, nanti sampaikanlah salam Hati kat diorang ye...

Akal : InsyaALLAH... Hati rehat ye...

Akal pun beredar meninggalkan Hati untuk berehat.







***Ketahuilah dan selidikilah dengan siapa `Hati` kita berkawan...

Aku Tinggalkan Dikau Demi Allah



Dengan nama Allah... sebaik-baik Pemberi Ganjaran.
Namamukah yang tertulis di Luh Mahfuz sana?
Engkaukah yang bakal menemaniku jalan menuju syurga?
Dirimukah yang akan melengkapkan separuh dari agamaku?
Aduhai pria...
Adakah kau yang tercipta untukku?
Jawab pertanyaanku ini.
Jawab!
Kau takkan pernah dapat memberi jawapan,
Kerna jawapannya bukan di tanganmu,
Tetapi di tangan-Nya.
Di tangan Tuhan kita; Allah,
Tuhanku dan Tuhanmu.
Gelisahku memikirkan dirimu,
Dan ketakutanku memikirkan Tuhanku,
Aduhai pria,
Maafkan aku,
Ketakutanku pada Tuhanku melebihi kegelisahanku memikirkanmu.
Jemput diriku pabila waktunya tiba,
Sebelum sampai saat itu, biarkan aku sendiri bersama Si Dia,
Akan kucipta cinta bersama Dia,
Sebelum kucipta cinta antara kita.
Jadilah dirimu kumbang yang hebat,
Dan doakan aku agar menjadi bunga yang mekar,
Untuk itu, Aku tinggalkan dirimu pada-Nya
Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu,
Tidak ada suatu binatang melata melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya,
Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.
Usah bersedih atas perpisahan sementara ini,
Jika benar aku tercipta untukmu,
Tiada apa yang dapat menghalangnya,
Sebelum saat itu tiba,
Berdoalah pada Allah moga diberi kekuatan,
Mohonlah padanya dengan penuh mengharap.
Yakinlah pada janji Allah!
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga) [Surah An Nur: 26]
Sesungguhnya Allah takkan pernah mensia-siakan pengorbananmu,
Bilamana kita tinggalkan semua ini kerana Allah semata,
Yakinlah!
Akan ada sesuatu yang indah untukmu di pengakhiran nanti.
Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu,
Daripada yang sekarang (permulaan),
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu ,
Lalu (hati) kamu menjadi puas.
[Surah Ad dhuha: 4 & 5]
Beruntunglah kamu!
Tatkala Allah memilihmu untuk menyedari hakikat perhubungan antara lelaki dan wanita
Allah memilihmu!
Jangan pernah sia-siakan kasih sayang Allah ini.
Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu
Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya
[Surah As Syams: 8-10]
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan:
"Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka,
Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan:
"Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih;
dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu
[Surah Fussilat: 30]
Dan tika kamu merasa lemah,
Mohonlah kekuatan dari-Nya,
Allah itu dekat,
Yakin pasti.
Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan,
Maka mohonlah perlindungan kepada Allah,
Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [Surah Fussilat: 36]
Kamu dan aku adalah intan terpilih,
Berdoalah aku kuat dan tabah untuk menjaga kilauanku,
Berdoalah tiada sang kumbang durjana merosakkannya sebelum yang halal tiba,
Aku juga sentiasa mendoakanmu agar dalam peliharanya,
Sentiasa.



Thursday, November 25, 2010

Kerana Ini Jalan Pilihanku

Berapa kali aku kata aku bukan belajar di London! Aku belajar di Swansea, di salah satu tempat di Wales!











‘Aku dah habaq kat hang banyak kali dah! Kalau pergi London tu jangan buat perangai tak elok! Jangan malukan mak ayah! Kau pergi sana untuk belajar. Bukan untuk jadi pendakwah!’

`Swansea Ayah, Swansea!`, bentak hatiku. Aku tak mengerti mengapa semua orang Malaysia menganggap jika belajar di UK itu maksudnya adalah belajar di London .

‘ Tak mengapa Sham, aku dok belajar di Ireland ni pun mak aku kata aku belajar di London.’. Teringat kata-kata Izzul, teman serumahku di saat kami berbual.

Aku mengeluh di saat gagang telefon belum ditutup. Ayah masih meneruskan ceramahnya yang panjang lebar. Terasa bingit apabila suara garaunya menembusi gegendang telingaku.

‘Aku dah habaq kat hang, dok London tu belajar. Buat apa nak enjoy-enjoy sangat. Bukan senang nak pergi overseas itu, tahu? Semua orang kampung ni tahu yang anak ayah pergi London . Mana aku nak letak muka jika kau balik tak bawak apa-apa selain bini kau tu je?’

Dia masih tidak berkata apa-apa. Membiarkan si ayah memuntahkan segala isi hatinya yang terbuku. Padanya ayah tidak mengerti apa-apa yang dialaminya di bumi berhawa dingin itu.

‘Usrah-usrah tu bukan tak bagus. Aku suka anak aku jadi anak soleh. Tapi jangan sampai berlebih-lebihan. Jangan sampai kau tak study langsung. Nak belajar Islam itu belajar juga, tapi janganlah berlebihan. Islam itukan wasatiah. Berpada-pada. Kita jangan terlalu ekstrem. Biar Islam kita Islam hadhari’

Teringat dulu ayah pernah bertanya kepadaku erti wasatiah. Dia jumpa dalam buku kitab kuning katanya. Aku katakan itu bermakna berbuat sesuatu biar pada kadarnya, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

‘Ayah memang kecewa dengan kau, Sham. Kau tak kasihan ke pada mak ayah. Macam mana nanti kami nak tanggung malu jika kau balik tak bawak apa-apa? Kau nak cari kerja macam mana nanti? Nak tanggung anak bini kau lagi. Kau nak kasi mereka makan pasir ke?’

Aku merenung lantai di bawah telapak kakiku. Kosong. Di sisiku, bidadari yang menerangi rumah tanggaku duduk bersimpuh sambil menanti-nanti ucapan dari bibirku. Kasihan dia, tentu dia gundah melihat reaksiku berbicara dengan ayah di balik telefon.

Setiap kali aku mahu menjawab kata-kata ayahku, si bidadari menyentuh lembut bahuku dan membuka ayatNya yang menyirami api amarah hatiku;

Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah keduanya perkataan yang baik’ ( Al-Isra’: 23)

Benarlah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Aku melirik dengan hati yang tenang pada wajah bercahaya si bidadari. Dia bukanlah dikalangan wanita yang dikatakan sebagai jelita. Hidung sedikit sepet, kulitnya sawo matang dan ada pancaran-pancaran jerawat di mukanya. Badannya sedikit gebu. Tapi aku tidak melihat kesemua itu kerana di saat aku ditanya oleh abang usrahku akan kriteria calon isteri pilihanku, jawapanku hanyalah; dia seorang akhawat yang mengikuti tarbiyah dan melaksanakan ajaran Islam. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah menyesal membuat pilihan itu.


‘Ayah…’, ujarku dengan nada yang lembut sambil menahan gelojak di hati yang tersinggung dek tuduhan-tuduhan si ayah.

‘Ayah, Hisham sebenarnya bukan `fail` exam keseluruhan ayah. Hisham cuma `fail` satu modul sahaja.’

‘Sama jelah . Kalau dah `fail` tu `fail` juga…’ Ayah memotong.

‘Bukan begitu. Maknanya Hisham boleh ambil balik modul itu dan lulus. Tak perlu pun nak kena ulang tahun.’

Aku membayangkan betapa terkejutnya ayah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung. Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan kedai runcit di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya.

 
‘Abang ikut tabligh kot, Angah.. Balik rumah asyik pakai baju putih je’, begitu kata adik bongsuku tatkala ditanya. Abang enggan berbicara denganku. Aku sendiri tak mengerti kenapa. Mungkin berasa malu.

Barangkali kerana itu ayah melenting dan terkejut. Tapi Hisham tak ikut tabligh ayah! Hisham ikut tarbiyah!

‘Modul periksa itu modul terakhir Hisham kena ambil. Tapi waktu periksa hari itu, Hawa dan Hisham kena demam panas. Hisham pergi juga ambil periksa waktu itu, walaupun tak dapat nak jawab soalan periksa betul-betul.’
 
Ayah berdengus kasar. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapanku.

‘Apapun, ayah tak nak kamu gagal lagi. Kamu kalau ikut-ikut usrah pun jangan sampai tak belajar. Kita biasa-biasa sudahlah. Tak perlu sampai nak jadi pendakwah.’

Kadang-kadang aku kecewa mengapa ramai menganggap bahawa faktor utama kegagalan seseorang yang aktif menghadiri pertemuan-pertemuan ilmu itu adalah kerana kesibukannya. Ramai lagi manusia yang gagal dalam pelajaran tapi mereka itu sibuk dengan kefoyaan mereka berhibur serta menghabiskan masa dengan perkara yang langsung tidak berfaedah.

Pertemuanku dengan seorang sahabat yang memberi cahaya kepada kehidupanku kini adalah pertemuan yang paling membahagiakan hidupku. Sahabat itulah yang menjadi naqib usrahku dan menjodohkanku dengan Hawa. Saat aku jatuh cinta dengan tarbiyah, saat itulah aku mengetahui erti kepada makna kehidupannya di atas muka bumi ini.

‘Kau sanggup berkorban duit dan masa semata-mata nak pergi usrah Sham? Get a life man! Takkan masa muda kau ni nak habiskan masa baca Quran je?Kau tak bosan ke dengar ceramah-ceramah? Ke hulu-hilir pergi entah kemana-mana entah. Kau boleh tolak tau kalau orang ajak kau. Kau jangan paksa diri Sham,’ Itulah kata-kata teman serumahku di kala mereka selalu melihat aku hilang dari bilikku.

‘Tapi aku tak jumpa ketenangan dan kebahagian bila aku buat apa yang kita buat selama ini. Usha awek cun, main game, tengok wayang dan lepak-lepak. Mula-mula aku rasa best lah. Tapi lama-lama aku rasa boringlah.Hidup takde tujuan. Buat camtu pun aku rasa buang duit dan masa juga.’

‘ Kau memang dah berubahlah, Sham.’ Dan di saat itu, aku mula merasakan hubunganku dengan teman serumahku semakin renggang. Nyata jalan kami adalah dua jalan berbeza. Pemikiran kami berbeza. Kesukaan kami begitu juga.

Aku berasa bahagia tatkala berjumpa dengan teman seperjuanganku namun aku sedih melihat teman serumahku masih leka dengan kefoya-foyaan sementara. Duhai teman, jika dikau mengetahui betapa nikmatnya jalan yang berliku namun penuh cahaya ini tentu kamu takkan tersilau dengan hiburan sementara di atas dunia ini. Kehidupan yang kau lalui sekarang ini adalah jalanyang gelap, yang tidak bermakna apa-apa walaupun kelak kita sama-sama pulang membawa segulung ijazah, kerana kehidupan sedemikian menjanjikan suka sebentar, tetapi duka selamanya di akhirat nanti.

Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi’, ( Al-A’raf: 7)

Aku berdoa agar keluargaku dan sahabat-sahabatku akan mendapat pancaran hidayah ini. Aku berdoa agar mereka menyintai ilmu, menyintai Islam dan mahu beramal dengannya. Kerana hidup di bumi UK ini, perbezaan antara kafir dan Islam adalah terang dan jelas. Minum arak, pergaulan bebas, pergi kelab malam dan makan babi adalah nyata perkara haram. Tetapi di Malaysia sangat sukar untuk menilai manakah Islam manakah yang bukan kerana orang Islam sendiri minum arak, pergi ke kelab malam dan berfoya-foya. Oleh kerana itu tidak hairan jika ramai graduan luar negara apabila pulang ke tanahair akan lebih dekat dengan Allah, kerana keadaan kehidupannya menjadikan dia sedemikian. Dia memerlukan Allah untuk hidup. Dia memerlukan Allah untuk menjadikan dia kuat menahan cabaran kekufuran. Sebab itu di saat sahabat-sahabat seperjuangan mengajaknya untuk belajar tentang agama Allah, hatinya tidak menolak, kerana dirasakan bahagia di saat hatinya dekat dengan Allah. Dan dia buntu memikirkan bagaimanakah lagi dia boleh membawa teman serumahnya mengikuti jalan yang dia ikuti kini.

Wahai orang-orang yang beriman. Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu,’ (Anfal:24)

Kerana itu Hisham ikut usrah ayah! Kerana Hisham mahu merasai cahaya itu! Dan Hisham mahu orang sekeliling Hisham turut merasai cahaya keimanan tersebut. Kegagalan yang Hisham hadapi sekarang ini bukanlah kerana kesibukan Hisham tapi adalah semata-mata kerana Allah mahu menguji Hisham. Sebab semakin Allah sayangkan hambanya semakin Allah berikannya ujian. Jangan ayah salahkan usrah hanya kerana Hisham gagal!

Mahu sahaja dilontarkan kata-kata itu kepada ayahnya yang separa uzur. Dia mahu ayahnya memahaminya walaupun sukar. Dan dia berazam untuk berbakti kepada ayah tatkala dia pulang nanti. Dia mahu tunjukkan bahawa apa yang dia dapat di negara orang putih ini adalah perkara yang terbaik pernah berlaku pada dirinya.

‘Abang…’ Lamunannya terhenti selepas sahaja dia meletakkan gagang telefon.
‘Result abang dah dapat dah ini..’ Siti Hawa berlari-lari anak sambil membawa sampul putih ke arahku.

Aku membuka sampul itu dengan penuh hati-hati dan perlahan-lahan..
‘Alhamdulillah….’ Sambil menoleh ke arah isteriku dengan senyuman penuh makna.
Pantas jemariku mengambil telefon kelui di atas katil sambil menekan punat dial.
‘Assalamualaikum ayah, Hisham dapat first class honor.….’

Dan di saat itu dia merasakan bahawa angin-angin sepoi bahasa di luar sana turut merasai keriangan hatinya…



`Photos & Tagging` Yang Mengundang Dosa?

K





etika mula-mula saya mendaftar dan menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘. Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.
Fungsinya, pengguna Facebook yang muat naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘ iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut. Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi pengguna lain yang ditanda.
Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profilnya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.
Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khalayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.
Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.
Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.
Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.
Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.
Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.
Amat malang orang yang dibebankan dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya menyebarkan gambar yang demikian.
Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.

*** Akhir kalam buat muslimin dan muslimat di luar sana agar memikirkan kembali setiap tindakan kita. Terasa sedih apabila kita melihat gambar khususnya muslimat mendedahkan aurat dan meletakkannya di laman web sosial atau sebagainya sedangkan di alam realiti, aurat mereka ditutup dengan sempurna . Tidakkah terasa sia-sia kerana akhirnya orang luar dapat tahu juga apa yang kita miliki dan disimpan rapi selama ini. Fikirkan kembali dan berubahlah. InsyaAllah :) 
 (Artikel ini adalah luahan hati daripada seorang Hamba Allah, penulis laman blog AbuUmair1.wordpress.com)

Bagaimana Bidadarimu?

"Jangan engkau kahwini wanita yang enam; yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah." - Imam Al-Ghazali


# Wanita Ananah: Wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau berpura-pura sakit.


# Wanita Mananah:
Wanita yang suka mengungkit-ngungkit terhadap suaminya. Wanita ini sering menyatakan seperti; "Aku membuat itu keranamu"


# Wanita Hananah:
Wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.


# Wanita Hadaqah:
Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.


# Wanita Baraqah:
1) Wanita yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya.
2) Wanita yang marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.


# Wanita Syadaqah:
Wanita yang banyak bercakap perkara yang lagha (sia-sia) dan lagi membisingkan.


***Renungkanlah bersama...Semoga kita bukanlah salah satu golongan yang di atas.

Insha Allah - Maher Zain

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way
Everytime you commit one more mistake
You feel you can’t repent
And that its way too late
Your’re so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way
Turn to Allah
He’s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don’t let me go astray
You’re the only one that showed me the way,
Showed me the way x2
Insyaallah x3
Insya Allah we’ll find the way


*Artis: Maher Zain
*Album: Thank You Allah
*Lirik: Maher Zain & Bara Kherigi
*Lagu: Maher Zain
*Susunan: Maher Zain & Hamza Namira
*Hak Cipta: Awakening Records 2009

Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran

A
nda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada? Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.


01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT 
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]
~ Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.




02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
~ Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.




03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
~ Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum. Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran. Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.



04.Prihatin sesama kita
"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]
~ Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.



05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
~ Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.




06.Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
~ Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana? Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."



07.Tepati waktu
"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
~ Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.



" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200]

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]

Tuesday, November 23, 2010

Marah? Kawallah Ia!

   "Geramnya aku, sakitnya hati! Dia ingat dia bagus sangat? Ingat dia hebat sangat di sekolah ni? Dia fikir dia cantik sangat!" Maka berbakul-bakullah kalimah @?!&%$# yang keluar dari mulut kita. Maklumlah orang tengah marah, macam-macam boleh keluar tanpa disedari, tidak peduli lagi bulan Ramadan atau tidak.

   Marah adalah cetusan perasaan akibat terlalu benci kepada sesuatu (haiwan, orang, atau benda-benda) yang menyakiti diri atau hatinya. Menurut Imam Ghazali, marah berpunca daripada cebisan api neraka yang bernyala-nyala. Kepanasan itu naik ke sudut hati lalu bersembunyi menjadi bara yang diliputi abu. Bara itu bermukim dalam hati bagaikan api dalam sekam. Apabila berlakunya sesuatu peristiwa, maka meletuslah bara itu menjadi api yang menyala.



   Rasulullah SAW melarang umatnya melayan rasa marah. Seorang lelaki pernah datang bertemu Rasulullah SAW untuk meminta nasihat. Baginda bersabda, "Jangan marah." Lelaki itu mengulangi lagi dan baginda menjawab, "Jangan marah." (Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah) Malah Rasulullah SAW menyatakan, "Bukan seorang yang kuat dengan pergelutan. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)


TIGA KATEGORI MANUSIA

1. Manusia yang tiada sifat marah. Dalam keadaan tertentu, orang yang tiada marah dikatakan sebagai orang yang lemah dan tidak mempunyai rasa cemburu. Keadaan ini dicela agama. Walaupun sifat marah dicela agama, namun dalam keadaan tertentu, marah tetap diperlukan. Marah yang diperlukan adalah apabila hak orang Islam dicabul. Dalam pada itu, orang yang lemah sifat marahnya seolah-olah tiada harga diri. Dia tiada upaya menjaga kehormatan diri sendiri dan orang lain, malah jika dihina, dia tidak melawan.

2. Manusia yang mempunyai sifat marah yang melampau. Hal ini merujuk kepada kemarahan yang tidak dapat dikawal, sehingga terkeluar daripada pertimbangan akal dan agama. Tanda-tanda zahir orang yang marah terlampau biasa ditunjukkan dalam keadaan luar biasa, kulit bertukar merah padam, gerak geri tidak menentu, kaki tangan menggeletar. Mulutnya akan jadi lancang, boleh menyerang orang lain atau membahayakan diri sendiri, dan dalam hati timbul rasa dendam dan ingin membalas dendam.

3. Manusia yang sifat marahnya dalam keadaan pertengahan. Sifat marah itu dicela, tetapi jika tiada marah langsung, juga dicela. Maka manusia sebaik-baiknya berpegang kepada pimpinan agama dalam mengendalikan diri. Ada kalanya marah itu perlu dan ada kalanya marah itu tidak perlu.


BAGAIMANA MENGHILANGKAN MARAH?

1. Berjuang menentang rasa marah. Jika perkara yang anda sukai adalah perkara yang dilarang, maka berlatihlah untuk menolak kesukaan itu. Begitu juga rasa marah, anda harus latih diri dengan cara bersesuaian untuk membiasakan diri supaya tidak jadi pemarah. Umpamanya, ada orang yang apabila marah, akan berjalan-jalan, atau ada yang duduk diam membisu.

2. Hilangkan merah padam di wajah. Jika kemarahan di puncak, berusahalah untuk melemahkannya dengan mengawal diri sehingga kesan merah padam di wajah tidak kelihatan lagi. Anda boleh menarik nafas panjang-panjang dan kemudian melepaskannya dengan perlahan-perlahan.

3. Ingat Allah. Alihkan perhatian dan pemikiran pada Allah. Jika kita rasa marah kita sudah ke kemuncak, maka ingatlah marah Allah lebih berlipat kali ganda yang tidak tergambar oleh minda kita.


4. Alih perhatian pada perkara lain. Fikirkankanlah perkara lain ketika anda diamuk marah kerana jika fikiran masih ditumpukan pada punca kemarahan, hati akan tambah berbara.

5. Segera ambil wuduk. Wuduk punya hikmah besar yang dapat menurunkan api kemarahan. Apabila berwuduk, maka dengan sendiri kita mengingati Allah yang mensyariatkan amalan tersebut. Ini sesuai dengan sifat air yang sejuk dan memadamkan api.

6. Hapuskan semua sifat kemungkaran. Biasanya punca tersinggung atau marah kerana tabiat diri sendiri yang menyombong, ego tak bertempat atau suka cari gaduh. Pantang sombongnya dibantah, umpatnya disanggah, atau egonya disinggung, cepatlah dia melenting marah. Tetapi percayalah, jika sifat-sifat bongkak ini dijauhi, insya-Allah sifat pemarah juga akan hilang.

7. Marah bukan sikap orang berani. Ada orang jahil berfikir, pemarah itu sifat yang terpuji dan lambang keberanian. Itu tanggapan yang silap! Marah dan berani sama sekali berbeza kerana orang yang berani selalunya tidak cepat marah.

8. Amalan doa jauhi marah. Pertama, bacalah kalimah taawuz yang disuruh oleh Rasulullah SAW iaitu, "Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Sulaiman bin Syarad). Kedua, jika masih marah, duduklah jika anda sedang berdiri, jika sedang duduk, maka berbaringlah, ini dapat meredakan kemarahan. Ketiga, sunat mengambil wuduk kerana kepanasan marah boleh dikurangkan dengan air sembahyang. (Maksud hadis riwayat Abu Daud daripada Athiyah as-Sa`di)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...