Aurat bereti anggota tubuh badan manusia yang wajib ditutup lantaran timbul perasaan malu apabila mendedahkannya. Aurat, perkara yang wajib diperkatakan kerana pendedahan aurat secara tidak bersopan merupakan salah satu gejala sosial yang boleh membawa kepada risiko buruk yang membimbangkan. Oleh sebab itu, soal aurat merupakan perkara yang amat dititik berat oleh Islam.
Menyedari risiko dan kesan buruk daripada pendedahan aurat khususnya bagi wanita, para sahabat Rasulullah SAW sejak permulaan Islam lagi telah melahirkan kesensitifan serta keprihatinan mereka terhadap aurat wanita, termasuk para isteri dan anak-anak perempuan mereka sendiri. Umar al-Khattab contohnya, sejak memeluk Islam, seorang yang sensitif dan prihatin terhadap aurat wanita. Beliau sering kali bertanyakan Rasulullah SAW tentang cara pemakaian pakaian wanita Islam. Wanita Islam pada ketika iu masih terpengaruh dengan cara berpakaian wanita Jahiliah; suka meluaskan dan melebarkan belahan baju di bahagian dada serta mendedahkannya. Cara begini boleh menimbulkan rasa ghairah dan keinginan nafsu lelaki apabila melihatnya.
Pada peringkat awal, Rasulullah SAW tidak dapat memberikan garis panduan mengenai pakaian wanita Islam kerana hukum yang sebenarnya adalah daripada Allah SWT. Tambahan pula, wahyu mengenainya belum lagi diturunkan, sehinggalah pada satu ketika, Jibril AS menyampaikan perintah Allah kepada Rasulullah SAW melalui wahyu mengenai hukum berpakaian bagi wanita seperti firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa hendak keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu, dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".
Diriwayatkan daripada Abi Malik, ayat ini diturunkan kerana setiap kali wanita Islam yang berpakaian mendedahkan aurat keluar untuk berurusan, mereka diganggu oleh lelaki Jahiliah.
Sesetengah pendapat mengatakan bahawa seluruh tubuh wanita itu merupakan aurat yang mesti ditutup termasuklah muka. Diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Abdullah Ibn Mas`ud, Rasulullah SAW telah bersabda bahawa wanita itu adalah aurat.
Membiarkan kepala atau sebahagiannya terdedah tanpa menutupinya adalah dikira mendedahkan aurat dan tetap dihukum salah dan berdosa. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada `Aishah RA telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah tidak akan terima solat seorang perempuan yang telah baligh melainkan dengan menutup kepalanya".
Hadis ini sebagai dalil membuktikan bahawa kepala dan rambut wanita adalah aurat kerana solat mereka tidak akan diterima melainkan mesti menutup kepala.
Islam dan bidang perundangannya telah sempurna sejak lebih 14 kurun yang lampau, dipraktik dan dihayati, diterima dan diguna pakai generasi demi generasi sehingga ke hari ini. Allah SWT melarang wanita memperlihatkan kecantikannya dan mereka diperintahkan supaya menutupinya dengan tudung kepala.
Jelaslah bahawa aurat itu wajib ditutup. Soal sama ada untuk melaksanakannya tuntutan hukum atau sebaliknya adalah soal kedua, tetapi yang lebih penting adalah jika seseorang itu menidakkan atau menolak ketetapan hukum yang telah disepakati lagi jelas dalil dan nasnya, bimbang dan takut boleh membawa kepada rosaknya akidah seseorang.
PAKAIAN STANDARD ISLAM BAGI WANITA |
No comments:
Post a Comment