Sunday, November 21, 2010

Menjejaki Sang Pencipta Melalui Big Bang

BIG BANG
Jejak 1: Permulaan Pembentukan Alam

   Dahulu persoalan tentang siapa yang menjadikan alam semesta ini tidak pernah dikaji oleh ahli astronomi. Ini berpunca daripada penerimaan masyarakat umum pada waktu itu terhadap idea alam ini wujud dalam jangka masa yang tidak terbatas.
   Atau dengan kata lain, alam ini tidak pernah dijadikan dan tidak akan musnah. Ia memang sedia wujud dan akan terus wujud selama-lamanya. Saintis abad 19 yang berpegang dengan model `Alam Infiniti` menganggap alam ini sebagai satu himpunan objek benda yang tidak mempunyai permulaan atau detik penciptaan.
   Teori "kewujudan abadi" ini mula dipertikaikan apabila pada tahun 1922, ahli fizik Rusia, Alexander Friedman menghasilkan pengiraan yang membuktikan struktur alam ini tidak statik dan satu dorongan kecil sahaja sudah memadai untuk menyebabkan seluruh struktur berkembang atau sebaliknya menurut teori Relativiti Einstein. George Lemaitre adalah orang pertama yang memahami hasil kerja Friedman ini. Berdasarkan kepada pengiraan ini, ahli astronomi Belgium Lemaitre mengumumkan alam ini mempunyai permulaan dan ia berkembang hasil daripada sesuatu yang telah mencetuskannya. Beliau juga menyatakan bahawa kadar penyinaran boleh digunakan sebagai pengukur kepada kesan "sesuatu ini".
   Teori kedua-dua saintis ini tidak diterima oleh kebanyakan ahli sains kerana kepercayaan mereka kepada alam abadi. Tambahan pula teori tersebut tidak pernah dibuktikan secara saintifik. Malah bagi menafikan teori ini Fred Hoyle membaiki model alam infiniti dengan teori "steady state". Menurut teori ini walaupun alam niniberkembang tetapi material-material baru muncul dalam jumlah yang diperlukan untuk menjadikan alam ini dalam keadaan tetap. Walaupun ramai saintis yang menyokong teori ini dan berusaha mempertahankannya selama bertahun-tahun, tetapi sains menewaskan mereka.

TEORI BIG BANG
Jejak 2: Cakerawala Ini Dijadikan Daripada Tiada

   Edwin Hubble, seorang ahli astronomi Amerika, berjaya membuktikan teori perkembangan alam ini. Melalui pemerhatiannya di balai cerap California Mount Wilson dengan menggunakan teleskop gergasi, beliau mendapati cahaya bintang-bintang berubah ke warna merah di hujung spektrum. Apa pentingnya perubahan warna ini?
   Berdasarkan undang-undang fizik, spektrum cahaya yang bergerak mendekati titik pemerhatian berwarna violet, sedangkan spektrum cahaya yang bergerak menjauhi titik pemerhatian berwarna merah kerana ia semakin jauh. Mudahnya, ia seperti wisel kereta api yang menjadi makin perlahan apabila ia bergerak jauh daripada kita.
   Pemerhatian Hubble ini membuktikan objek-objek langit bergerak semakin jauh daripada kita. Tidak lama kemudian, Hubble sekali lagi menemui sesuatu yang menakjubkan. Bintang-bintang di langit bukan hanya bergerak lebih jauh daripada bumi, tetapi ia semakin menjauh daripada bintang-bintang lain. Ini sekali gus menafikan dakwaan alam ini statik dan tidak bergerak. Penemuan-penemuan ini juga membuktikan dengan jelas bahawa alam semesta ini sentiasa "berkembang". Anda mungkin terfikirapa kaitan alam yang berkembang dengan penciptaan alam itu sendiri?
    Penemuan-penemuan Hubble menunjukkan bahawa sekiranya alam ini berkembang dan menjadi semakin luas, bererti sekiranya masa diundurkan ke belakang alam ini akan semakin mengecil. Akhirnya semua objek di alam semesta ini akan dipadatkan di dalam satu jisim yang mempunyai satu kuasa graviti luar biasa kuat hingga mewujudkan "isi padu sifar". Dlam bahasa yang lebih mudah, isi padu sifar bererti alam semesta ini dijadikan daripada tiada!

LETUSAN BIG BANG

Jejak 3: Big Bang Merungkai Misteri Penciptaan Alam Semesta

   Bagaimana alam yang maha besar dan kompleks ini dijadikan daripada tiada? Pengiraan George Gamov Lemaitre yang dihasilkan pada tahun 1984, menganjurkan alam ini terbentuk melalui letupan yang maha besar. Beliau juga berpendapat kesan penyinaran (radiasi) letupan ini masih boleh dikesan di seluruh alam, tambahan pula ia sepatutnya seragam.
   Hanya setelah dua dekad, ramalan Gamov berjaya dibuktikan melalui pemerhatian saintifik. Pada tahun 1965, Arno Penzias dan Robert Wilson mengkaji penyinaran yang ditinggalkan oleh letupan ini. Dinamakan sebagai "Cosmic Background Radiation", mereka mendapati penyinaran ini bergerak sekata ke semua arah. Menguatkan lagi bukti ini, pada tahun 1989, George Smoot dan kumpulan NASAnya menghantar sebuah satelit digelar "Cosmic Background Emission Explorer" (COBE) ke angkasa. Satelit ini hanya mengambil masa lapan minit untuk mengesan kadar tertentu penyinaran sebagaimana yang dilaporkan oleh Penzias dan Wilson. Dunia sains mengiktiraf penemuan ini sebagai bukti alam ini terbentuk daripada tiada dengan letupan yang dikenali sebagai Big Bang atau Letupan Agung. Kajian-kajian dalam bidang lain seperti kandungan relatif helium dan undang-undang antropi, juga membuktikan hakikat yang sama, alam semesta ini dijadikan.

KEJADIAN ALAM SEMESTA

Jejak 4: Pencipta Alam Semesta

   Dengan kejayaan teori Letupan Agung ini, tesis "alam infiniti" telah dibakul sampahkan. Tetapi ia juga menimbulkan beberapa persoalan kritikal: Apa yang wujud sebelum Big Bang? Apakah kuasa yang mencetuskan letupan maha hebat ini dan mengawalnya dengan sempurna hingga menghasilkan sebuah alam yang tidak wujud sebelum ini?
   Jawapan kepada soalan-soalan ini membawa kita kepada Pencipta alam semesta.
   Hakikat alam ini dijadikan daripada tiada ditegaskan dalam agama-agama samawi. Bible misalnya dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru menjelaskan alam semesta ini serta segala isinya termasuk manusia dijadikan daripada tiada, atau lebih tepat dicipta. Hakikat yang selaras dengan penemuan sains moden ini turut disebutkan dalam kitab al-Quran, seperti berikut:
   "(Dialah) yang mencipta langit dan bumi..." (Surah al-An`am 6: 101)
   Al-Quran juga menjelaskan langit, bumi dan seluruh cakerawala ini berasal daripada satu isi padu sebagaimana dibuktikan saintis. Firman Allah SWT:
   "Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai langit dan bumi itu pada asal mulanya becantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan daripada air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (Surah al-Anbiya` 21:30)
   Kesimpulan ini yang telah dicapai oleh sains moden adalah fakta yang telah dikhabarkan kepada kita dalam al-Quran: Allah telah menjadikan alam semesta ini daripada tiada dan mengaturkannya:
   "Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungimalam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam" (Surah al-A`raaf7:54) 

KEJADIAN BIG BANG
APA KATA MEREKA?

ANDRE LINDE



"Teori letupan besar mendakwa semua bahagian alam ini berkembang serentak. Tetapi bagaimana bahagian-bahagian alam yang berbeza ini menyamagerakkan permulaan letupan mereka? Siapakah yang memberikan arahan?"


 ~ Andre Linde - Profesor Kosmologi ~






JOHN POLKINGHORNE



"Terdapat satu kebijaksanaan dan perancangan di sebalik alam semesta ini. Terdapat isyarat kehadiran tuhan dalam penciptaan alam ini sehingga matematik abstrak dapat menembusi rahsia alam ini, yang menyarankan satu kebijaksanaan pintar telah menjadikan dunia ini. Alam ini telah dilaraskan dengan baik untuk membolehkan hidupan dan kesedaran muncul"


~ John Polkinghorne - Ahli Fizik British ~










***Sesungguhnya segala yang ada di langit dan bumi, yang nampak dan yang tersembunyi, semuanya dalam pengetahuan Allah Yang Maha Mengetahui

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...