Saturday, February 05, 2011

Majlis Ikrar Ketua Pelajar : Bersama Janji Dan Harapan


P
ada tarikh 24 Januari 2011 yang lalu, bersamaan 19 Safar 1432 Hijriah telah berlangsungnya acara tahunan bagi Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (SAMBBST), iaitu Majlis Ikrar Ketua Pelajar bagi sesi 2011. Majlis rasmi yang berlangsung di dewan sekolah, Dewan Al-Khawarizmi telah dihadiri oleh semua barisan pendidik, saf-saf qiyadah dan para pelajar putera puteri SAMBBST. Majlis tersebut dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan alunan zikir Asmaul Husna, diikuti dengan lagu Negaraku, lagu negeri Selangor dan lagu rasmi sekolah. Acara tahunan ini menampilkan semua barisan kepimpinan pelajar SAMBBST yang terdiri daripada Majlis Pimpinan Pelajar (MPP), Badan Pengawas Sekolah (BPS), Pengawas Media/Pengawas Pusat Sumber (PSS), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Majlis Ketua Tingkatan (MKT). Majlis ikrar ini diketuai oleh Saudara Muhammad Ismul Azzam bin Hazle, selaku Presiden MPP 2010/2011, merangkap Ketua Umum.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan watikah pelantikan kepada ketua-ketua setiap badan pimpinan sekolah. Bermula dengan Saudara Muhammad Ismul Azzam bin Hazle, Presiden MPP, diikuti dengan Saudara Muhammad Irfan Fahmi bin Eadil, selaku Ketua BPS. Seterusnya, Saudara Amirul Azizi bin Amer, sebagai Ketua PRS, kemudiannya Saudari Taqiah Hani binti Mohd. Idris merangkap Ketua PSS, dan yang terakhir sekali, Ketua MKT, Saudara Mohd. Amirul Aizat bin Mahpop.

Dalam majlis itu, para pimpinan pelajar telah berikrar agar sentiasa komited dalam menjalankan tugas. Bertanggungjawab dalam menunaikan amanah yang diberikan oleh pihak sekolah, iaitu kepimpinan sekolah dan juga amanah yang diberikan oleh kedua ibu bapa, iaitu dengan menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Tidak lupa juga janji agar sentiasa berusaha menjadi pelajar dan khalifah Allah yang berjaya di dunia dan di akhirat jua. Di samping menghormati rakan-rakan seperjuangan, guru-guru dan kakitangan sekolah, saf qiyadah juga berikrar akan menyayangi sekolah dan memberikan teladan yang baik kepada para pelajar. Berbekalkan semangat Wihdatul Fikrah Pemangkin Ukhuwwah, semoga para pimpinan juga mempunyai kesatuan pemikiran yang mantap dan padu untuk terus memacu kecemerlangan dan melakar kejayaan demi kejayaan di bumi barakah SAMBBST.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...