Kita amat arif dengan peristiwa yang menggemparkan Malaysia tidak
lama sebelum ini, yakni kisah pembatalan konsert Erykah Badu kerana
dikatakan dia pernah mentatu dirinya dengan nama Allah&Rasulullah
SAW. Walaupun selepas itu diperdebatkan sama ada itu hanyalah body paint
atau sebagainya, namun jelas dia pernah mempunyai kalimah itu pada
tubuhnya.
Walau apa pun kebenarannya, yang menarik perhatian ketika itu adalah
Erykah Badu sendiri menulis di twitter beliau – I deserved it. Sedang
ramai selebriti Malaysia memarahi mentaliti masyarakat yang
membesar-besarkan isu tersebut hingga terbatal konsert seorang Erykah
Badu.
Apa-apa pun, itu menunjukkan betapa sensitifnya masyarakat apabila
kalimah Allah, Rasulullah SAW, diletakkan pada tempat yang tidak
sepatutnya. Hingga terbatal sebuah konsert.
Saya tidak menyatakan itu tidak baik. Pada saya ianya bagus kerana
sensitiviti menjaga nama baik Allah dan Rasulullah adalah satu perkara
yang nyata positif.
Tetapi saya mendapat berita hari ini, Girls Generation, satu kumpulan
Kpop wanita dari Korea, telah berjaya menjalankan konsert di KLCC, pada
23hb Mac 2012, dihadiri ramai hadirin, ada daripadanya adalah dari
kalangan masyarakat melayu kita sendiri.
Bagaimanakah ini?
Kumpulan Itu Jelas Tidak Berpakaian Sopan.
Bila kita lihat semula kumpulan Girls Generation ini, sebagaimana
yang akhbar sendiri paparkan, nyata membuat persembahan di Malaysia
dengan mengenakan pakaian putih dan berskirt pendek mendedahkan peha.
Ya. Jelas itu bukanlah satu etika kesopanan bagi rakyat melayu, dan
nyata terkeluar dari adab-adab Islam. Belum dikira mereka memakai baju
yang agak kecil menampakkan bentuk tubuh. Nyatanya, tidak menutup aurat.
Kemudian bergerak-gerak membuat persembahan, yang saya yakin walau
tidak bertujuan lucah, pastinya akan tetap mencucuk jiwa-jiwa yang
memandang.
Tetapi 1001 kehairanan bagaimana kumpulan sebegini, dibenarkan membuat persembahan di negara kita?
Sensitiviti Pada Beberapa Tempat, Dan Membuangnya Pada Beberapa Tempat Yang Lain.
Di manakah kurangnya ‘efek’ yang dibawa oleh Girls Generation, dibandingkan dengan Erykah Badu?
Sebenarnya secara peribadi, semasa saya melihat gambar Erykah Badu
yang didedahkan mempunyai tatu Allah&Rasulullah itu, saya nyata
tidak peduli dengan tatu. Sebab jelas sebelum saya nampak tatu, saya
sudah nampak bahu dan bahagian atas dadanya yang terdedah. Terus saya
kata dalam hati, memang patut kena ban pun. Namun masyarakat bangkitkan
isu tatu. Tidak mengapalah, mungkin sekadar ‘penambah sebab’ mengapa
perlu dibatalkan konsertnya.
Tetapi apabila saya melihat Girls Generation berjaya membuat
persembahan di KLCC, saya mula tertanya-tanya. Apakah yang sebenarnya
ditentang oleh masyarakat Islam Malaysia?
Apakah yang sebenarnya
masyarakat Islam Malaysia faham dalam isu ‘menjaga agama’?
Kita hanya sensitif apabila nama Allah&Rasulullah diletak pada
tempat yang salah oleh seorang yang bukan Islam, tetapi kita tidak
sensitif dengan pembukaan aurat secara terbuka?
Bahkan, dilakukan oleh
perempuan, yang nyata sepatutnya dalam masyarakat melayu Islam Malaysia
kita, dijaga adab sopannya lebih dari lelaki!
Jadi, di mana sebenarnya letak sensitiviti kita?
Hanya pada kalimah Allah&Muhammad?
Bukan pada Islam keseluruhannya?
Biasa Dengan Dosa.
Kita amat arif dengan kisah selebriti di Malaysia. Rata-ratanya tidak
menutup aurat. Belum dikira dengan yang terlebih seksi, dan belum lagi
kita hitung dengan semberono sahaja bercakap berkenaan agama dan hukum
Islam. Belum juga kita hitung drama-drama, filem-filem yang jelas tidak
membantu perkembangan Islam dan kefahamannya dalam masyarakat, bahkan
sangat-sangat mendorong untuk membuatkan masyarakat jauh dari kefahaman
Islam yang sebenar.
Ya. Sudah berapa tahun kita di’biasa’kan dengan perkara sebegini?
Hari-hari buka TV, kita di’dodoi’ oleh selebriti sebegini.
Hari-hari dengar radio, kita di’isi’ oleh seleberiti sebegini.
Sudah berapa tahun?
Perlahan-lahan kita rasa: “Ala, tak tutup aurat je pun.”
Nah. Kita sudah terbiasa dengan dosa! Itu baru kita. Bayangkan
anak-anak kita, adik-adik kita yang masih kecil, yang akan membesar
dengan suasana ini. Kalau kita boleh redha dengan perkara seperti tidak
menutup aurat, jangan terkejut generasi hadapan boleh redha dengan aksi
ranjang!
Lihatlah keredhaan kita terhadap persembahan Girls Generation.
Ini adalah hasil keredhaan kita selama ini terhadap keadaan hiburan di Malaysia selama ini.
Islam itu perlu diambil secara total.
Bukanlah kalimah Allah&Muhammad sahaja kita perlu pertahankan. Itu adalah sebahagian dari kemuliaan Islam. Benar.
Tetapi kita perlu ambil Islam secara total. Maka jiwa orang mukmin,
orang Islam, turut perlu dijaga. Sekiranya ada ism-ism yang mahu
merosakkan tali perhubungan antara jiwa seorang muslim dengan Allah SWT,
maka kita wajib juga mempertahankannya.
Kerana itu kita tidak boleh redha dengan perkara yang jelas keluar
daripada nilai Islam sebegini. Baik dari artis luar negara, mahupun
artis tempatan itu sendiri. Bukan sekadar membantah
persembahan-persembahan mereka apabila mendedahkan aurat sedemikian
rupa, kita sendiri patut membantah perkara-perkara ini dari menjengah
dalam kehidupan kita!
Kalau mahu kata mesej, maka apa mesej yang mereka bawa?
Jika benar bermesej, maka ambil mesejnya sahaja. Mengapa mesti
mendewa-dewakan selebritinya, hingga membenarkan kemungkaran menjengah
kehidupan kita?
Tidak saya kata kita perlu cemuh dan perlu hina mereka. Saya bukan
berbicara akan keburukan Erykah Badu, Girls Generation atau artis
tempatan. Saya sedang bicara akan mentaliti kita. Saya sedang bicara
akan di manakah sebenarnya sensitiviti kita terhadap Islam itu, kita
letak?
Ini perlu kita lihat semula.
Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam
Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah
Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.
Dinyatakan selepas arahan mengambil Islam secara menyeluruh itu,
larangan agar kita tidak mengikuti jejak langkah syaitan. Tidakkah kita
memerhatikan? Memang syaitan akan menipu kita. Menyatakan ini tidak
mengapa, begitu tidak mengapa. Hingga kita terkeluar dari kebenaran yang
sebenarnya.
Kita sangka, kita menjaga nama Allah&Rasulullah SAW sahaja sudah
mencukupi. Hakikatnya, kita perlu menjaga Islam ini secara total.
Syaitan ini dia bijaksana. Jika tidak mampu ajak kita tinggalkan Islam,
maka dia akan suruh kita berbuat baik yang kecil, dan mengajak kita
merasa cukup dan berpuas hati hanya dengan kebaikan kita yang sebenarnya
kecil dan tidak membawa makna itu!
Tidakkah kita menyedari?
Penutup: Marilah Kita Kembali Kepada Sensitiviti Yang Sebenar.
Pada saya, jika benar kita ada sensitiviti yang betul, kita akan
tolak semua kemungkaran ini. Baik datangnya dari eropah, dari africa,
dari Korea&Jepun, hatta dari Malaysia sendiri. Kita akan tolak.
Maka tidaklah pula kita akan menjadi fitnah para non-muslim yang
memandang aksi masyarakat muslim Malaysia. Erykah Badu kita tolak, Girls
Generation kita terima, bahkan artis muslim/muslimah kita sendiri tidak
ubah seperti mereka! Maka apa kehormatan non-muslim mahu berikan kepada
kita?
Kerana itu tidakkah kita rasa sudah cukup mendengar kenyataan para muallaf:
“Saya bersyukur mengenali Islam dahulu dari orang Islam.”
“Kalau nak diikutkan rakan-rakan Muslim saya, mungkin saya sampai hari ini tidak akan masuk Islam.”
Dan sebagainya.
Jelas, itu adalah indikasi betapa jauhnya kita dari kebenaran yang sebenarnya.
Maka marilah kita perbaiki sensitiviti ini.
Ambil Islam secara total.
Dan bergerak naik membina peribadi sejati.
Mari Menjadi Hamba!
( sumber; langitilahi )