Wednesday, December 08, 2010

Fenomena Maher Zain: Idola Baru Remaja Malaysia


K
ehadiran Maher Zain di Malaysia yang mendapat sambutan hangat tidak mengejutkan kerana rentetan sejarah dalam bidang muzik ini memperlihatkan adanya tempat yang istimewa buat muzik Islamik dalam masyarakat.


   Apatah lagi kelibat Maher Zain dikatakan mempunyai pakej yang cukup sempurna di mata anak-anak muda. Beliau memiliki suara yangmerdu, paras rupa yang menawan serta sikap yang disenangi. Bakatnya juga tidak hanya dalam membawakan lagu-lagu berbentuk kerohanian ini, malah beliau dikurniakan kebolehan dalam mencipta dan menulis lagunya sendiri.

   Sebelum ini nama Maher Zain masih samar-samar buat pendengar-pendengar muzik di negara kita. Namun sebenarnya dalam dunia hiburan di seluruh Eropah dan Timur Tengah, jenama Maher Zain sudah cukup gah. Berbekalkan kehebatan pengawalan vokal  dan kemahiran mencipta lagu dan menerbit lagu, Maher Zain dilihat berjaya meluaskan empayar seninya menerusi album pertama beliau yang dianggap cukup sempurna dan berkualiti yang berjudul `Thank You Allah`.

   Bernaung di bawah satu syarikat rakaman yang sama dengan penyanyi terkenal Sami Yusuf, Maher Zain dianggap bertuah kerana album pertamanya telah dijual dengan begitu cepat ke serata dunia dibantu oleh rangka promosi yang meluas dan tersusun oleh Awakening Records. Bakat dan keupayaan Maher Zain dalam penerbitan sesebuah album sudah terbukti sebelum beliau tampil dengan album pertamanya lagi. Sebelum bergelar penyanyi, Maher lebih dikenali sebagai salah seorang penerbit album untuk sebuah syarikat rakaman ternama yang bertapak di New York. Kemahirannya dalam bidang tersebut kini diterjemah dengan baik dalam album solo beliau yang pertama dan hasilnya ternyata setanding dengan pengalaman yang beliau miliki.

ALBUM `THANK YOU ALLAH`

   Maher Zain kini menjadi sebuah fenomena di Malaysia. Lagu-lagunya bukan sahaja didengar oleh peminat nasyid tetapi turut didengari oleh mereka yang selama ini membenci nasyid. Selain suaranya yang merdu, susunan muzik lagu-lagunya sangat indah. Malah liriknya bermakna dan memberikan kesan mendalam kepada pendengar. Malah, setiap lagu yang dinyanyikan oleh beliau telah melalui proses penapisan. Proses tersebut bertujuan untuk memastikan setiap lagu yang disampaikan mampu memberi kesan emosi kepada pendengar atau dengan kata lain, mampu menyentuh hati pendengar.

   Beliau merupakan seorang rakyat Sweden yang berketurunan Lubnan. Keluarganya berpindah ke Sweden ketika umur Maher Zain 8 tahun. Beliau kemudian bersekolah di sana dan seterusnya melanjutkan pengajian ijazahnya dalam kejerutaan aeronautik. Kemudian beliau berpindah dan menetap di New York selama beberapa tahun kerana minat yang mendalam terhadap muzik. Menurut Maher Zain, walaupun meminati muzik, tetapi beliau merasa bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Oleh kerana itu pada Januari 2009 beliau beralih arah kepada muzik yang menggambarkan identiti beliau sebagai seorang muslim. Selepas itu beliau menandatangani kontrak dengan syarikat Awekening Records yang berpangkalan di United Kingdom. Maka lahirlah album `debut`nya "Thank You Allah" yang terus menduduki tangga pertama di carta Amazon's World Music. Hebat!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...