Saturday, December 11, 2010

Muhammad Al-Hafiz - Model Remaja Hadhari

K
emerduan suaranya tatkala mengalunkan kalam suci al-Quran mampu menggamit jiwa setiap pendengar. Dalam usia belasan tahun, beliau berjaya mengharumkan nama Malaysia setelah dinobatkan sebagai Johan Bacaan Terbaik dalam Majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) ke-12 pada bulan September dua tahun yang lalu. Begitulah yang dapat diungkap bagi menggambarkan kehebatan remaja yang diberi nama Muhammad bin Ahmad Zahid ini.

MUHAMMAD AL-HAFIZ
   Sedari usianya tujuh tahun, Muhammad telah menceburi bidang hafazan al-Quran. Dididik dalam suasana budaya mencintai masjid serta membesar dalam keluarga mithali, anak kepada pasangan Ahmad Zahid dan Dr. Siti Khadijah ini telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sewaktu usia 10 tahun. Beliau pernah menuntut di Institut Al-Quran Kuala Lumpur, Massasah Darul Furqan Bangsar,  dan Maahad Tahfiz Al-Azhariyyah Shah Alam. Anak sulung daripada lima adik-beradik ini pernah mendapat tunjuk ajar secara intensif daripada Allahyarham Syeikh Hussain dari Myanmar di Petaling Jaya. Beliau juga menerima pendidikan di Darul Hikmah , Ampang, Selangor. Selain mengulang kaji hafazan al-Quran sekurang-kurangnya lima juzuk sehari, beliau juga mengikuti pengajian kelas formal, di samping turut ke kelas tuisyen matematik dan komputer pada hari-hari tertentu.

   Seiring dengan transisi diri yang menjengah ke alam remaja, Muhammad percaya tahfiz al-Quran mampu memelihara diri seseorang daripada melakukan kemaksiatan seterusnya menjadi insan berkualiti. Kata beliau, apabila kita menjaga hafazan al-Quran dalam dada, kita akan membawa imej kecemerlangan ke mana-mana kerana al-Quran itu sendiri adalah kunci dan puncak kecemerlangan.

   Melihat kepada dirinya yang mampu menjadi teladan generasi baharu, JAKIM dengan rasminya mengambil beliau sebagai anak angkat jabatan kerajaan tersebut. Beliau yang memegang prinsip ikhlas, rajin mengulang kaji hafazan dan berdisiplin untuk kekal sebagai hafiz al-Quran yang berjaya berharap dengan peluang sebagai anak angkat JAKIM akan mempermudah saya berdakwah dan belajar dengan para ulama melalui saluran JAKIM.

   Selain itu, Muhammad berkebolehan membawa bacaan lebih 10 imam atau qari seperti Imam Sudais, Imam Syraim, dan Khalil Hasary. Beliau pernah diberi penghormatan menjadi qari jemputan pada Majlis Penyampaian Anugerah kepada para graduan lepasan universiti di hadapan tetamu kehormat Mahkota Kerajaan Dubai, Sheikh Mohammad bin Rashid al-Makhtoum di Burj, Dubai. Selain telah menghafal pelbagai kitab hadis Matan di kala usia sembilan tahun, anak berbakat besar ini turut giat mengeluarkan cakera padat yang merakamkan bacaan ayat-ayat al-Quran.  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...