Monday, March 14, 2011

Induksi Saf Kepimpinan (INSAF) 2011 - Merealisasikan Hadaf 4A

S
ebuah kursus kepimpinan yang dinamakan Induksi Saf Kepimpinan (INSAF) 2011 yang dulunya dikenali sebagai Tamrin Qiyadi Perdana (TQP), telah dijalankan dari 25 Februari sehingga 27 Februari 2011 di Kem In-Sight G-Jan, Sepang. Program ini merupakan gabungan pimpinan: Majlis Pimpinan Pelajar (MPP), Pengawas Sekolah (PS), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Pusat Sumber Sekolah (PSS), Majlis Ketua Tingkatan (MKT) dan Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR). Yang menariknya, para peserta program ini mendapat bimbingan daripada mantan-mantan pimpinan SAMBBST sendiri selaku fasilitator.

Bermula dengan pendaftaran pada jam 2.30 petang, semua peserta telah menerima sekeping fail plastik yang mengandungi sebuah buku nota, sebatang pen dan helaian kertas aktiviti, di samping sehelai t-shirt rasmi INSAF berwarna jingga terang yang tertulis perkataan `Ar Ruhban Fil Lail, Al Fursan Fin Nahar`. Pada sebelah malamnya pula, tazkirah yang bertajuk `Aku Pemimpin` oleh Ustaz Muhammad Suhaimi dan Ustaz Khairul Azwad Ibrahim telah disampaikan di surau. Seusai urusan ibadah, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) 1 dijalankan. LDK yang diberi nama MIND SETTING: Mission Statements memerlukan para peserta cuba berfikir di luar kotak pemikiran. Seterusnya, pembahagian kumpulan dibuat dengan membahagikan para peserta kepada tujuh kumpulan. Tidak dilupakan, program ini turut mempunyai lagu tema iaitu, Dunia Baru Islam dan Bingkai Kehidupan.






Pada hari kedua, para peserta dan fasilitator mengerjakan Qiamullail pada jam 4.30 pagi lagi. Pada jam 10.30 pagi, LDK 2: Leadership Games dijalankan. Pada sebelah petangnya pula, aktiviti Pengendalian Majlis Rasmi; Teori dan Praktikal telah disampaikan oleh Encik Kamarul Azami Mohd. Zaini dari IQ Class Management. Aktiviti pada waktu malam, selepas selesainya urusan ibadah, LDK 3: Plan Of Action; SAMBBST Gemilang 2015 dilakukan. LDK kali ini memerlukan para peserta memikirkan strategi badan kepimpinan masing-masing dengan mengambil kira matlamat 4A: Akhlak Cemerlang, Akademik Gemilang, Amalan Penuh Penghayatan, Aktif dan Progresif.

Pada hari terakhir program, para peserta dibawa masuk ke dalam kawasan hutan bagi aktiviti Jejak Alam. Sepanjang berjalan di dalam hutan, para peserta telah diberikan tips-tips ketika berada di dalam hutan, diajar menggunakan kompas dengan betul, menunaikan solat sunat dhuha di dalam hutan, dan sebagainya. Tamat sahaja aktiviti tersebut, para peserta menghadiri Majlis Penutup `Untaian Kenangan` oleh Encik Mahadi bin Bassin, Guru Penolong Kanan 1 SAMBBST.

Secara keseluruhannya, para peserta sangat gembira dan terkesan dengan program yang dianjurkan oleh Unit Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) SAMBBST. Gembira kerana berjaya mengutip ilmu-ilmu kepimpinan dan menimba pengalaman yang menarik untuk diingati, terkesan pula kerana menyedari beberapa kelemahan dalam kepimpinan membuatkan para peserta lebih bersemangat memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Melalui program ini juga, ikatan ukhuwwah disemai dengan begitu baik sekali, sesuai dengan prinsip Saf Qiyadah 2011 iaitu, Wihdatul Fikrah Pemangkin Ukhuwwah. Hal ini jelas ditunjukkan sewaktu makan, di mana para peserta dikehendaki makan secara ambengan seramai empat orang sedulang. Sebelum makan, para peserta perlu menyuap sahabat sedulang masing-masing, dikenali sebagai suapan `kasih sayang`. Mereka tidak dibenarkan menyuap makanan ke mulut masing-masing sebelum menyuap sahabat mereka. Semangat bekerjasama sangat dirasai dalam Group Binding, terutama sekali ketika LDK 1 dan Debat Kepimpinan. Tazkirah-tazkirah yang disampaikan juga membakar semangat untuk terus berjuang dan berjihad dalam kepimpinan. Akhir sekali, sudah pastinya ilmu-ilmu yang dicurahkan sepanjang INSAF ini berlangsung, benar-benar membuka mata dan minda tentang kepimpinan Islam yang sebenar.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...